Untuk pengetahuan anda, dua buah CX-60 dikesan itu merupakan unit pandu uji yang sedang dipandu oleh beberapa media termasuk Careta sebelum pelancaran rasminya.

Bagaimanapun unit yang kami pandu uji itu merupakan CX-60 dengan spesifikasi pasaran lain dan bukan untuk pasaran Malaysia.
Mazda CX-60 merupakan model SUV mewah yang telah diperkenalkan secara global pada tahun 2022 dengan beberapa pilihan trenkuasa dan varian mengikut negara.

CX-60 juga merupakan SUV pertama Mazda yang dibina menggunakan platform Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture dengan susun atur enjin hadapan memanjang ke belakang dan pacuan roda belakang RWD.
Ia turut ditawarkan dengan pilihan pacuan semua roda (AWD) untuk beberapa pasaran tertentu.

Hadir sebagai SUV saiz pertengahan, CX-60 memiliki dimensi 4,745 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,670 mm tinggi, dan jarak roda 2,870 mm.
Untuk rujukan, Mazda CX-60 di pasaran Filipina dikuasakan dengan pilihan enjin 3.3 liter enam silinder sebaris turbo e-Skyactiv-G petrol (280 HP/450 Nm) dan 3.3L e-Skyactiv-D diesel (251 HP/550 Nm) bersama sistem hibrid ringan 48V dan pacuan semua roda (AWD).

Pasaran Singapura pula hanya menerima satu varian tanpa sistem hibrid ringan, dikuasakan nadi Skyactiv-G 2.5 liter empat silinder sebaris bersama transmisi automatik 8 kelajuan dan pacuan roda belakang (RWD), menghasilkan kuasa 188 HP dan 261 Nm.
Untuk pasaran Indonesia pula, ia ditawarkan dengan pilihan enjin e-Skyactiv-G 3.3 liter enam silinder sebaris turbo dan enjin Skyactiv-G 2.5 liter empat silinder sebaris.

Menariknya untuk pasaran Australia, Mazda CX-60 dikuasakan trenkuasa PHEV bersama nadi 2.5 liter dan motor elektrik, menghasilkan 323 HP dan 500 Nm.
Dari segi reka bentuk, CX-60 tampil dengan gaya Kodo lebih moden, lengkap dengan lampu LED adaptif dan pilihan warna eksklusif.

Bagi mereka yang mencari kelainan dan mahukan kemewahan dalam sebuah SUV, Mazda CX-60 mungkin boleh dipertimbangkan sebagai salah satu pilihan.
Akan tiba untuk pasaran Malaysia dalam masa terdekat, Bermaz Auto telah mengesahkan bahawa Mazda CX-60 akan diperlihatkan buat kali pertama di acara Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024.

KLIMS 2024 akan berlangsung di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 5 hingga 11 Disember 2024 ini.