Mazda CX-60 rasmi di Malaysia – SUV mewah serba baru, varian tunggal, harga dari RM200,510

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Pengedar tunggal jenama Mazda di Malaysia, Bermaz Motor secara rasminya melancarkan model serba baharu pertama dari Large Product Group Mazda, Mazda CX-60.

SUV crossover segmen pertengahan itu menjadi model flagship baharu Mazda, menggabungkan prestasi, kemewahan dan keselamatan dalam satu pakej yang direka khas untuk mereka yang mahukan pengalaman pemanduan premium.

Mengikut falsafah rekaan “Noble Toughness”, CX-60 menampilkan gaya dinamik yang penuh kekuatan, namun seimbang dengan elemen kecerdikan dan keanggunan, kesinambungan daripada bahasa rekaan ikonik Mazda, Kodo "Soul of Motion".

 

2

 

Bahagian luar CX-60 memberi penekanan kepada kekuatan dan kestabilan, jeriji hadapan menampilkan profil lebih tinggi dengan “signature wing” baharu yang turut menempatkan lampu isyarat, digandingkan dengan lampu utama susunan menegak dan grafik L-shape di depan serta belakang.

Silhouette sisi yang kompak dengan kabin ditolak sedikit ke belakang memberikan imej lebih agresif, seolah-olah dalam gerakan walaupun statik.

Hadir sebagai SUV saiz pertengahan, CX-60 memiliki dimensi 4,745 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,670 mm tinggi, dan jarak roda 2,870 mm.

 

3

 

Masuk ke bahagian dalam, kabinnya pula mencerminkan falsafah kraf Jepun dengan penggunaan material semula jadi, digabungkan teknik tradisional bersama teknologi moden.

Papan pemuka lebar bersambung ke kemasan pintu, manakala konsol tengah dengan binaan padu memberi imej struktur yang kukuh.

Pemandu dibekalkan dengan tiga paparan utama iaitu kluster instrumen 12.3 inci, paparan HUD dan skrin infotainmen 12.3 inci lengkap dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

 

4

 

Sistem Driver Personalization juga membolehkan lebih 250 tetapan disesuaikan secara automatik mengikut profil individu pemandu, termasuk kedudukan kerusi, stereng, cermin sisi dan paparan HUD.

Ciri lain turut dilengkapi termasuklah pad pengecasan tanpa wayar, kamera 360° See-Through View serta sistem audio premium BOSE bersama 12 pembesar suara.

Praktikaliti Mazda CX-60 tampil dengan kapasiti ruang kargo yang sangat kompetitif dalam segmennya, sekitar 477 liter ruang kargo dan boleh diluaskan sehingga 1,726 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

 

5

 

Dari segi teknikal, menariknya CX-60 menjadi model SUV pertama Mazda dengan susun atur pacuan roda belakang (RWD) yang dibina diatas platform baharu Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture.

Hanya satu varian dan pilihan enjin, CX-60 dikuasakan nadi Skyactiv-G 2.5 liter empat silinder NA, dipadankan transmisi automatik 8 kelajuan tanpa torque converter yang menghasilkan 189 HP dan 261 Nm.

Bagi aspek pengendalian, bahagian depan CX-60 dilengkapi suspensi jenis double wishbone di depan dan jenis multi link di belakang, bersama sistem Kinematic Posture Control (KPC) yang membantu kestabilan ketika membelok.

 

6

 

Aspek keselamatan CX-60 menampilkan rangkaian lengkap ciri keselamatan aktif i-Activsense termasuk Adaptive LED Headlamps, Blind Spot Monitoring, Lane Keep Assist, Smart Brake Support, Radar Cruise Control dengan fungsi Stop & Go serta Cruising & Traffic Support, membolehkannya menerima penarafan 5 bintang Euro NCAP (2022)

Untuk pasaran Malaysia, Mazda CX-60 ditawarkan dalam 5 pilihan warna menarik termasuk Soul Red Crystal, Rhodium White, Jet Black, Platinum Quartz, dan Zircon Sand.

Sebagai model CBU dari Jepun harga Mazda CX-60 ditawarkan bermula dari RM200,510 (atas jalan tanpa insurans), lengkap dengan waranti pengeluar 5 tahun dan program penyelenggaraan percuma 5 tahun atau 100,000 km.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Dr. Brian Gu, Naib Pengerusi XPeng Naib Pengerusi XPeng, Dr Brian Gu berkata syarikat itu…
Berita Domestik
Mazda CX-5 SUV popular segmen C ini menerima pengurangan RM10,000 untuk semua varian. Harga bermula…
Kereta
Rekaan Luar: KODO Design yang Dewasa Mazda CX-60 mengekalkan falsafah reka bentuk KODO yang mula…