Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, Mazda CX-60 merupakan sebuah SUV dua baris tempat duduk yang dihasilkan khusus untuk pasaran Eropah, Jepun, serta pasaran-pasaran lain.
Bagi mereka yang mengikuti perkembangan Mazda, kelibat SUV tersebut pernah kami siarkan sebelum ini yang tidak langsung memakai pelekat samaran, dan berdasarkan lokasi di dalam video teaser yang dimuat naik, berkemungkinan besar ia adalah unit SUV yang sama digunakan.
Berbanding CX-50 yang lebih ranggi, Mazda CX-60 dilihat membawakan reka bentuk yang lebih ringkas dengan unit lampu yang lebih kompak, diikuti dengan lampu nyalaan siang DRL yang menghubungkan unit lampu utama dengan gril hadapan.

Difahamkan, Mazda bakal menawarkan CX-60 2023 dengan unit trenkuasa plug-in hybrid yang menjanjikan output setinggi 300 hp.
Selain daripada CX-60, Mazda bakal menawarkan sebuah lagi SUV tiga baris tempat duduk Mazda CX-80 yang bakal dijual di sana dalam tempoh dua tahun akan datang, sementara di Amerika Syarikat, terdapat dua lagi SUV yang bakal muncul iaitu CX-70 dan SUV tiga baris tempat duduk CX-90 yang jauh lebih lebar berbanding CX-80.