Jadi, apa yang anda dapat dalam SUV Jepun tetapi dipasang siap (CKD) di Kulim, Kedah ini yang berharga dari RM174,852.10 (harga tanpa cukai SST) ini?
Kami telah memandu uji jentera ini dan berdasarkan pengalaman lima hari bersama, terhasil penulisan artikel ini.
Perkara pertama dan terpenting yang anda perlu tahu adalah fokal utama untuk membina CX-5 adalah:
i. keselesaan
ii. kemudahan
iii. kestabilan pemanduan
iv. prestasi
Dalam varian CX-5 turbocharged ini, anda diberikan kesemua yang tersebut di atas! Keempat-empat poin utama sememangnya mengumpul markah yang hampir penuh.
Dari segi luaran, ia tidak banyak perbezaan jika dibandingkan dengan varian-varian lain yang tersedia untuk pembelian.
Kesemua varian diberikan lampu utama LED automatik, lampu belakang turut digabungkan dengan LED, lampu kabus dan lampu DRL (daytime running light) juga LED.
Sebenarnya, satu-satunya perbezaan utama adalah cuma huruf ‘T’ berwarna merah kecil di bahagian belakang yang diletakkan bersebelahan abjad 2.5 untuk menunjukkan bahawa ia datang dengan kuasa enjin turbocharged 2.5 liter!
Perbezaan yang paling ketara adalah apa yang ada di dalam 'perut' Mazda CX-5 ini iaitu di bahagian enjin yang mana 2.5L 2WD (bukan turbo) cuma menghasilkan kuasa kuda 192 pada 6,000rpm dan daya kilas (tork) maksimum 258Nm serendah 2,000rpm.
Berbanding dengan 2.5T ini, ia menghasilkan 19.7 peratus lebih banyak tenaga (228/5,000rpm) dan daya kilas sehingga 62.8 peratus lebih tinggi (420/2,000rpm)!
SUV Jepun ini melayari jalan raya dengan mudah, terutama di lebuh raya. Untuk mencapai kelajuan di lebuh raya ia amat mudah dikecapi tanpa perlu berusaha gigih!
Tetapi perlu diingat bahawa semakin menderu ia pergi, semakin tinggi penggunaan bahan api.
Benar, CX-5 dapat menempuh jarak lebih dari 400km dalam satu tangki apabila pemanduan secara normal yang membawa maksud memandu di bawah 100 km/j tetapi anda perlu mempunyai keimanan yang tinggi kerana teramat payah untuk memandu dengan kelajuan normal dengan enjin turbo 2.5L ini!!!
Angka penggunaan bahan api yang kami dapati adalah sekitar 8km/liter yang bermaksud jika inginkan pemanduan yang sangat menyeronokkan, anda perlu berkorban dompet untuk mengisi bahan api yang lebih dari biasa.
Semua varian SUV CX-5 ini didatangkan dengan sistem Mazda G-Vectoring Control Plus (GVC +) dan ini memberi pemanduan yang dinamik serta keselesaan pemanduan yang sangat baik bukan setakat pemanduan dalam bandar sahaja tetapi untuk pemanduan jarak jauh juga, tidak terasa lenguh atau sakit badan.
Kami pernah memandu kereta dan SUV yang mempunyai "body roll" terutama pada penumpang belakang, terasa seperti 'dilambung ombak', TIDAK dengan CX-5 ini kerana GVC ini membantu memastikan kereta sentiasa mengagihkan berat badan kenderaan dan memberi tindak balas kepada sistem pengendalian. Hasilnya adalah perjalanan yang selesa tanpa rasa jemu atau bosan atau letih walaupun memandu berjam-jam lamanya!
Di bahagian dalam iaitu kabin Mazda CX-5 2.5T ini pada pendapat kami adalah pembaharuan yang paling ketara jika dibandingkan dengan model CX-5 sebelum ini.
Dengan penambahan Apple CarPlay® dan Android Auto® dalam unit Mazda Connect Infotainment, mana-mana pengguna telefon pintar boleh berhubung dengan lancar tanpa perlu risau tentang kerumitan penyambungan atau pemasangan bersama Bluetooth.
Aplikasi bersepadu seperti Waze, Spotify dan banyak lagi, semuanya di hujung jari anda sahaja.
Terdapat juga paparan skrin TFT 7-inci yang boleh dikonfigurasikan yang menunjukkan semua maklumat yang diperlukan mengenai SUV ini.
Ia nampak menarik dan jelas berserta maklumat yang lengkap tanpa mengganggu fokus pemandu.
Penukaran mod pemanduan ke "Sport Mod" pada dail utama berubah menjadi warna merah untuk menunjukkan bahawa anda sedang 'menyerang' jalan raya dengan kelajuan.
Salah satu peningkatan kegemaran kami adalah Paparan Unjuran Windshield Berwarna yang pada dasarnya adalah Heads-Up Display (HID) yang sangat terkini.
Ia memaparkan segala-galanya dari kelajuan semasa anda, had laju jalan yang sedang anda jalani, titik balik seterusnya (jika anda telah menetapkan navigasi), peringatan penukaran lorong pemanduan dan peringatan titik buta.
Dari segi keselesaan, Mazda benar-benar mengetahui kehendak peminat mereka dan ia jelas kelihatan dari bahagian tempat duduknya.
Ia direka dengan sangat tepat iaitu menyokong posisi tempat duduk dengan jumlah sokongan yang baik pada pinggul, tulang belakang, kaki, dan juga kedudukan kaki anda di pedal, kesemuanya dipertimbangkan untuk memastikan bahawa anda tidak akan mengalami cramp/ketegangan kaki ketika memandu.
Cuma tempat duduk penumpang di bahagian belakang bersaiz agak sempit untuk penumpang dewasa yang mempunyai ketinggian lebih dari enam kaki atau mempunyai berat badan melebihi 120 kilogram.
Secara keseluruhan, kami berpendapat bahawa Mazda CX-5 Turbo AWD ini adalah pilihan yang tepat bagi mereka yang mencari SUV serba mantap yang mempunyai keseimbangan antara kuasa, keselesaan dan pemanduan yang dinamik.
Sekiranya harga bukan ukuran, sememangnya kami ingin memiliki SUV ini kerana kami telah jatuh cinta dengannya dan yang pasti anda tidak akan menyesal ''mengikat" perjanjian bersama pihak bank untuk beberapa tahun.