Untuk mereka yang mahukan sebuah varian CX-3 yang lebih mampu milik dan mesra bajet, Bermaz dilapor akan memperkenalkan varian baharu yang dilengkapi dengan enjin Skyactiv-G 1.5 liter.
Menurut laporan rakan media Paultan, terdapat satu senarai harga jualan daripada pengedar yang dihantar oleh pembacanya menyenaraikan harga jualan terkini, dan terdapat varian tunggal 2WD Core yang dilengkapi dengan enjin 1.5 liter, dengan harga jualan bermula dari RM107,870 (atas jalan tanpa insurans).

Atas kertas, enjin 1,496 cc itu berupaya menghasilkan kuasa setinggi 114 hp @ 6,000 rpm dan daya kilas 149 Nm @ 4,000 rpm yang dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan - sama seperti tetapan yang wujud pada model Mazda 2 dan Mazda 3.
Sementara harga untuk varian CX-3 yang lain adalah seperti berikut:
Mazda CX-3 2.0G 2WD Core - RM118,159
Mazda CX-3 2.0G 2WD High - RM131,359
Difahamkan, penawaran Mazda CX-3 2022 didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau 100,000 km had perbatuan, serta pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun dengan had perbatuan 100,000 km.
Sumber: Paultan