Mazda CX-3 2021 facelift - kini dengan AEB, Apple CarPlay & Android Auto, bermula dari RM131 ribu

oleh Mohamad Hanif|
Bermaz Motor hari ini melancarkan versi facelift kepada model crossover Mazda CX-3 2021 yang tampil dengan penambahbaikan spesifikasi, serta ciri keselamatan yang lebih lengkap.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Antara pembaharuan yang didatangkan termasuklah ciri sambungan kepada peranti pintar menerusi Apple CarPlay dan Android Auto, sistem kamera 360 darjah, tempat duduk balutan kulit dan fabrik sebagai ciri standard.

Selain daripada itu, Mazda CX-3 2021 juga didatangkan dengan sistem paparan bersaiz tujuh inci Active Driving Display, ciri Mazda Connect, serta sistem audio dengan enam pembesar suara.

 


Kelengkapan di bahagian luar pula terdiri daripada rim bersaiz 18 inci, spoiler belakang, antena sirip jerung, gril hadapan berwarna hitam, lampu LED untuk unit lampu utama, lampu belakang, serta lampu nyalaan siang (DRL), ciri pelarasan ketinggian suluhan, bumbung suria berkuasa serta penambahan penderia parkir di bahagian hadapan.

Ciri keselamatan standard yang dimuatkan pada Mazda CX-3 2021 ini adalah enam beg udara, Kawalan Kestabilan Dinamik, Sistem Kawalan Cengkaman, Lampu berhenti kecemasan Automatik (ESS), dan Bantuan Mula Mendaki (HLA).

Sistem i-ACTIVESENSE pula merangkumi ciri pemantauan titik buta dan amaran lintasan trafik belakang (RCTA), serta ciri yang ditambah seperti Kawalan Suluhan Tinggi (HBC), Sistem Amaran Keluar Laluan (LDW), Amaran Tumpuan Pemandu (DAA) dan Sokongan Brek Bandar Pintar atau lebih mesra dikenali sebagai brek kecemasan automatik.

 


Unit enjin pula masih lagi dikekalkan iaitu enjin SKYACTIV-G 2.0 yang menghasilkan 154 hp dan 206 Nm yang dipadankan dengan transmisi enam nisbah kelajuan automatik, serta ciri kawalan G-Vectoring Control (GVC).

Mazda CX-3 2021 merupakan unit CBU import sepenuhnya dari Jepun dan didatangkan dengan pilihan warna merah, putih mutiara, biru gelap, kelabu dan kelabu polymetal.

Harga jualan untuk Mazda CX-3 2021 bermula dari RM130,729 (termasuk 50 peratus pengecualian SST) dan tempahan boleh dibuat bermula sekarang.

 


Ia dijangka tiba pada bulan Julai ini dan didatangkan dengan jaminan dan penyelenggaraan percuma selama lima tahun atau jarak perbatuan 100,000 km yang mana terdahulu.

 

Berita Berkenaan

Pelancaran
Sejak diperkenalkan pada 2021, e:HEV RS untuk City Hatchback menyumbang 16 peratus kepada jumlah…
Berita Domestik
Versi dinaik taraf bagi SUV elektrik yang memenangi anugerah itu menggariskan komitmen BYD terhadap…
Model Terbaharu
City Hatchback kini kekal sebagai salah satu model hatchback terlaris dalam segmen Bukan Nasional…