Mazda BT-50 2022 dibuka untuk tempahan - harga dari RM124k

oleh Mohamad Hanif|
Mazda Malaysia akhirnya secara rasmi membuka tempahan bagi model trak pikap generasi baharu Mazda BT-50 untuk pasaran Malaysia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Meskipun BT-50 kini menggunakan platform daripada trak pikap D-Max, Mazda BT-50 hadir dengan pakej penggayaan yang gagah, dan tidak ketinggalan penerapan bahasa rekaan ikonik Kodo Mazda.

Ia boleh dilihat menerusi gril hadapan yang agak menonjol di mana Mazda berjaya menyatukan identiti mereka pada trak pikap ini, diikuti dengan lampu utama yang lebih tirus, serta kluster lampu kabus dan lampu membelok yang diposisikan menegak.
 

MZDA


Ruang kabin Mazda BT-50 direka untuk keselesaan, keluasan, tahan lasak, serta kualiti kemewahan yang ada pada model-model Mazda terkini.

Bermula dari papan pemuka, roda stereng, tempat duduk dan konsol tengah, segalanya telah direka semula untuk memastikan pemandu sentiasa terhubung dengan kenderaan.

Mazda pada ketika ini memperincikan dua varian yang ditawarkan, iaitu BT-50 1.9L AT High, dan BT-50 3.0L AT High Plus.
 

Mazda


Versi 1.9L High dikuasakan oleh enjin RZ4E-TC 1.9 liter turbo yang mampu menghasilkan 150 PS dan 350 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan, sementara versi 3.0L High Plus pula mendapat nadi 4JJ3-TCX 3.0 liter yang mampu menghasilkan 190 PS dan 450 Nm.

Secara standard, Mazda BT-50 mendapat unit lampu depan Bi-LED automatik dengan pelarasan automatik, lampu nyalaan siang DRL, kombinasi lampu mentol di belakang, rel bumbung, tempat pemijak sisi dan penyeka kaca dengan fungsi penderia hujan.
 

BT-50


Sementara ruang kabin pula mendapat kelengkapan seperti paparan kluster instrumen 4.2 inci TFT, skrin infotainmen 9 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto,  tempat duduk pemandu boleh laras lapan cara, tempat duduk penumpang depan boleh laras manual, pendingin hawa dua zon automatik, corong pendingin hawa baris kedua.

Varian 1.9L High mendapat balutan fabrik pada tempat duduk, sementara varian 3.0L High Plus pula mendapat kemasan kulit.

Ciri keselamatan yang dimuatkan pada model BT-50 termasuklah enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, ESC, Sistem Kawalan Cengkaman, Bantuan Mula Mendaki, Bantuan Menurun Cerun, cagak ISOFIX, serta tambahan dua ciri termaju iaitu sistem pemantauan titik buta dan amaran lintasan trafik belakang.

Varian 3.0L High Plus pula mendapat tambahan ciri seperti bantuan suluhan tinggi automatik, sistem amaran keluar lorong (LDWS), amaran pelanggaran depan (FCW), brek kecemasan automatik (AEB) dan kawalan jelajah adaptif (ACC).
 

BT-50


Untuk pasaran Malaysia, harga jualan Mazda BT-50 2022 bermula dari RM124,179.20 untuk varian 1.9L AT High dan RM143,218.40 untuk varian 3.0L AT High Plus.