Satu tempoh jangka hayat yang agak panjang untuk sesebuah generasi kereta moden.
Setelah ditamatkan produksi untuk pasaran Amerika Utara (2021) dan UK pada tahun lepas, Mazda mengumumkan sedan itu akan dihentikan penjualannya di Jepun pada pertengahan April ini.
Tempat dan peranan yang ditinggalkan oleh Mazda6 sedan dan wagon itu akan diisi oleh barisan crossover siri CX.
Satu pilihan yang sangat tepat, melihatkan kepada populariti SUV dan crossover yang tidak menunjukkan tanda-tanda surut.

Namun, penamatan model sedan dan wagon itu bakal memberikan kesan yang mendalam bagi mereka yang masih lagi mahukan sebuah kereta praktikal yang bukan dari genre SUV dan crossover.
Sebelum ini terdapat khabar angin berkenaan kemunculan model pengganti Mazda6, iaitu sebuah sedan pacuan roda belakang yang dibina berdasarkan platform Large Product Group yang kini digunakan oleh model seperti CX-60 dan CX-90.
Sayang sekali, berita tersebut telah dinafikan oleh Mazda pada tahun 2022.
Ini kerana untuk sebuah syarikat yang relatifnya kecil berbanding rakan-rakannya dari Jepun, adalah tidak menguntungkan bagi Mazda untuk hadir dengan produk sedan baharu dengan angka jualan yang lebih rendah berbanding SUV yang jauh lebih popular.