Maxoil vs Maxxoil - Mahkamah arah cap dagangan Maxxoil dihapuskan

oleh Mohamad Hanif|
Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan pendaftaran cap dagangan Maxxoil yang dimiliki syarikat penjual dan pengedar minyak pelincir, Shift Holdings Sdn. Bhd. dihapuskan berkuat kuasa hari ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Hakim Datuk Wong Kian Keong memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan pengilang minyak pelincir jenama Maxoil, Maxcare Success Sdn. Bhd. selaku plaintif.


Hakim Kian Keong dalam penghakiman ringkasnya berkata, pendaftaran cap dagangan plaintif telah didaftarkan terlebih dahulu pada 2008 manakala Shift Holdings selaku defendan pula pada 2014.

“Apabila defendan menggunakan cap dagangannya pada 2014, terdapat kemungkinan pemerdayaan dan kekeliruan antara cap dagangan bagi kedua-dua pihak. Malah, barangan, sifat, idea dan konsep juga hampir sama.

“Selain itu, cara sebutan sama walaupun berbeza ejaan. Cara sebutan tambahan X dalam produk defendan juga tidak mengetepikan kemungkinan berlakunya pemerdayaan dan kekeliruan,” katanya.

Pada masa sama, Hakim Kian Keong turut menolak tuntutan balas defendan untuk menghapuskan cap dagangan plaintif mengikut Seksyen 45(1) Akta Cap Dagangan 1976.
 


Maxcare Success dalam penyataan tuntutannya tahun lalu, menamakan Shift Holdings defendan pertama dan Pengarahnya, Tam Wei Han defendan kedua yang masing-masing diwakili peguam Tee Kuo Yin.

Maxcare Success yang diwakili peguam, Reza Natasha Redzawan menuntut supaya defendan memusnahkan semua barang dan pembungkusan yang berkaitan dengan pelanggaran hak dagangan plaintif.

Defendan turut dituntut membayar ganti rugi khas, am, kos guaman dan faedah lima peratus setahun serta relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Yang turut hadir dalam prosiding berkenaan, Pengarah Maxcare Success, Abdul Hamid Ba'dizaman.

Terdahulu, prosiding perbicaraan kes tersebut berlangsung selama dua hari di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai lalu.

Sumber: Utusan Online