MAVCOM UMUM PINDAAN KADAR PSC BERKUAT KUASA 1 JUN 2024

oleh Firdaus Razani|
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengumumkan pindaan kepada Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) bagi Tempoh Kawal Selia Pertama (RP1), bermula 1 Jun, 2024 hingga 31 Dis, 2026.
AION MREC Banner Campaign May 2024

Dalam kenyataan pada Selasa, Mavcom menjelaskan tiket yang dikeluarkan sebelum 1 Jun, 2024 tidak akan tertakluk kepada kadar baharu itu, walaupun tarikh perjalanan berlaku pada atau selepas tarikh itu.

 

MAVCOM

 

Suruhanjaya itu memaklumkan bahawa kadar pindaan PSC baharu itu di antara RM7 dengan RM73 bagi RP1 dikenakan kepada penumpang yang berlepas dan transfer dari Malaysia.

Kadar itu termasuk caj keselamatan iaitu caj bagi penyedian perkhidmatan keselamatan di lapangan terbang, menurutnya.

Mavcom memaklumkan bahawa pihaknya mengekalkan PSC pelepasan domestik pada RM11 di semua lapangan terbang ecuali Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (JHB).

Berdasarkan kadar PSC baharu, PSC Asean dan destinasi melangkau Asean telah digabungkan menjadi PSC antarabangsa tunggal berjumlah RM73 bagi Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan RM50 bagi Terminal 2 KLIA berserta lapangan terbang lain, tambah suruhanjaya itu.

Kadar PSC semasa Asean dan destinasi melangkau Asean masing-masing pada RM35 dan RM73.

Mavcom juga memperkenalkan PSC transfer bagi RP1, di semua lapangan terbang di Malaysia dengan kadar untuk perjalanan domestik melalui semua lapangan terbang ialah RM7, manakala kadar RM42 untuk perjalanan antarabangsa melalui Terminal 1 KLIA dan RM29 untuk perjalanan antarabangsa melalui Terminal 2 KLIA dan lapangan terbang lain.

Suruhanjaya itu juga membenarkan lapangan terbang lain yang tidak dikendalikan oleh anak-anak syarikat Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd dan Malaysia Airports Sdn Bhd, iaitu JHB, Lapangan Terbang Kerteh (KTE), dan Lapangan Terbang Tanjung Manis (TGC), untuk mengemukakan cadangan tarif bagi RP1, katanya.

KTE dan TGC, kedua-duanya telah memilih untuk menerima pakai kadar yang dicadangkan oleh suruhanjaya itu manakala JHB telah mengemukakan struktur kadar yang berasingan, dengan kadar yang diluluskan di antara RM10 dengan RM50 bagi perialanan domestik dan antarabangsa dari atau melalui lapangan terbang itu, jelas Mavcom.

Mavcom memaklumkan bahawa pindaan itu merupakan tanggungjawabnya dalam pengawalseliaan ekonomi Caj Perkhidmatan Penerbangan (ASC) di Malaysia di bawah Seksyen 46 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771), yang merangkumi kuasa untuk menetapkan caj perkhidmatan penerbangan seperti PSC, serta caj pendaratan dan parkir pesawat, antara lain.

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata pindaan itu merupakan tonggak utama strategi suruhanjaya untuk melindungi kebajikan pengguna, menyokong pemulihan industri yang mampan dan berdaya tahan, serta memastikan kestabilan kewangan sektor penerbangan, selaras dengan keadaan pasaran yang berubah.

"Tarif PSC yang diumumkan hari ini merangkumi maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan, bertujuan menyokong daya maju jangka masa panjang, pemulihan serta daya saing industri.

"Menerusi tindakan memberikan keutamaan kepada kestabilan industri, suruhanjaya telah memperkenalkan langkah untuk memastikan kadar ini tidak membebankan penumpang, sekali gus merangsang permintaan perjalanan udara," katanya.

Langkah itu juga bertujuan memastikan pengendali lapangan terbang mengekalkan keupayaan dan daya saing kewangan yang kukuh, membolehkan peluang pembiayaan semula pada kadar yang munasabah dan pelaburan berterusan dalam infrastruktur lapangan terbang yang efisien, katanya.

Seperti yang digariskan dalam Warta di bawah Peraturan-Peraturan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Caj Perkhidmatan Penerbangan) 2016, PSC dikenakan kepada penumpang domestik dan antarabangsa yang berlepas dari dan transfer melalui semua lapangan terbang nasional.

Maklumat lanjut mengenai PSC dan Caj Perkhidmatan Penerbangan lain boleh didapati dalam Kertas Keputusan berkenaan Penyeliaan Caj Perkhidmatan Penerbangan untuk RP1 di laman web Mavcom di www.Mavcom.my.

 

SUMBER : BERNAMA

Berita Berkenaan

Sukan Bermotor
Tinjauan Bernama pada sesi latihan persendirian di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini…
Berita Domestik
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata beliau…
Berita Domestik
Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kini sudah hampir 3,000 pekerja…