Mate Rimac terima Rimac Nevera dari Rimac Automobili

oleh Muhammad Md Tajudin|
Rimac Nevera Mate Rimac
Rimac Nevera Mate Rimac
Pengasas Rimac Automobili, Mate Rimac menerima Rimac Nevera dari Rimac Automobili.

Ringkasnya, Rimac Automobili menyiapkan dan menyerahkan kereta hiper elektrik Nevera kepada pengasasnya sendiri.

Perjalanan Nevera memang panjang, diperkenal di Geneva pada 2018 sebagai Rimac C_Two dan model produksi didedah secara rasmi pada 1 Jun 2021.

Menariknya, pemilik Nevera #001 adalah juara Formula 1 2016, Nico Rosberg dan diserahkan pada 2022.
Rimac Nevera Mate Rimac 2024

 

Mate seorang yang pintar dan berusia 21 tahun semasa mengasaskan Rimac Automobili pada 2009 dengan impian untuk menghasilkan kereta hiper elektrik.

15 tahun kemudian, Mate menerima Nevera yang menggunakan namanya sendiri dan mewakili visi beliau untuk sebuah prestasi agung.

Nevera memegang sejumlah rekod termasuk kereta produksi elektrik terpantas di Nürburgring dengan masa 7:05.298 minit pada 18 Ogos 2023.

Beberapa bulan sebelum itu Nevera mencatatkan 23 rekod prestasi dalam masa sehari di antaranya pecutan 0 sehingga 100 kilometer sejam dalam masa 1.81 saat.

 

 Rimac Nevera Mate Rimac

 

Ciri-ciri Rimac Nevera:

  • Casis monokok dengan bumbung karbon lekatan (bonded), pek bateri sebagai struktur bersepadu dan subkerangka belakang karbon
  • Pek bateri sebagai penguat struktur kereta menambah 37 peratus ketegaran struktur monokok gentian karbon
  • Berat monokok kurang daripada 200 kg dan menggunakan 2,200 lapisan gentian karbon dan 222 sisipan aluminium
  • Bateri Litium/Mangan/Nikel 120 kWj dalam bentuk H dengan 6,960 sel direka sendiri oleh Rimac 
  • Pembahagian berat depan dan belakang dengan nisbah 48:52
  • 4 motor elektrik, satu pada setiap roda
  • Kuasa 1,914 hp dan daya kilas 2,360Nm
  • Kelajuan tertinggi 412 km/j
  • Sistem All-Wheel Torque Vectoring 2 (R-AWTV) menggantikan Program Penstabilan Elektronik dan Sistem Kawalan Cengkaman tradsional 
  • 150 buah terhad
  • Harga semasa pelancaran bermula daripada 2 juta euro
Rimac Nevera Mate Rimac

 

Sebagai seorang yang mengetahui segenap inci tentang Nevera, Mate mengetahui dengan jelas apa yang dimahukannya.

Ibarat seorang lelaki atau wanita yang sudah lama mempelajari dan mengidamkan kediaman sendiri.

Kesemua yang dimahukan Mate Rimac dihasilkan secara dalaman oleh Rimac Automobili di kilangnya di Croatia.

 

Rimac Nevera Mate Rimac 2024

 

Bahagian Warna dan Kemasan Rimac mencadangkan beberapa konsep seperti yang dilakukan pada pelanggan lain namun Mate kekal dengan impian asalnya.

Mate mahu badan gentian karbon dilapisi merah dan logo Nevera dengan penganodan merah dan riasan karbon terdedah.

Tidak sekadar badan tanpa cat, kemasan Karbon Tahap 3 tampil dengan arah khusus merentasi panel badan dan sepadan dengan geometri kereta.

Cuba dekatkan gambar dan perhatikan bagaimana sulaman karbon bertemu pada bahagian tengah kereta.

 

​Rimac Nevera Mate Rimac ​

 

Corak tersebut juga perlu merentasi permukaan yang rumit dan panel lain untuk mendapatkan hasil bersambung dan tidak terputus.

Proses lapisan jernih (clearcoat) perlu ketelitian mendalam dan boleh menyebabkan keretakan dan proses pembuatan panel perlu diulang sekiranya lubang kecil terisi lapisan jernih.

Bendera Croatia dicat dengan tangan pada cermin sisi dan terdapat corak kilat yang tersorok di bawah spoiler belakang.

Corak itu dibuat sebagai ingatan kepada ribut Mediterranean di lautan Croatia dan asal nama Nevera.

 

Rimac Nevera Mate Rimac

 

Mate begitu berbangga dengan ibu pejabat Rimac Group di Croatia dan menolak untuk berpindah ketika waktu sukar di awal penubuhan walaupun menerima tawaran pelaburan.

Pada bahagian dalam, Mate memilih riasan berlawanan dengan gabungan hitam dan merah untuk ditempatkan sebelah-menyebelah.

Akhirnya, Mate Rimac memiliki Rimac Nevera yang dihasilkan Rimac Automobili. 

Hanya 150 buah Nevera dihasilkan dan unit Mate Rimac pula satu-satunya yang wujud di dunia.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
  Satu contoh kereta GT ialah Rimac Nevera yang diakui sendiri oleh pengasas syarikat, Mate Rimac…
Berita Global
  Untuk makluman, selain syarikat kereta sendiri, Mate Rimac adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO…
Berita Global
Beberapa bulan selepas itu, Rimac kembali dengan rekod terbaharu.   Bukan rekod pecutan 0-400-0…