Dalam operasi tersebut, seorang lelaki yang ditahan didapati turut membawa isteri yang hamil dua bulan menonton aktiviti lumba haram.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Perak, Supritendan Sahimi Husin berkata, dalam operasi bermula jam 2 hingga 6 pagi itu seramai 199 individu ditahan dan 191 kenderaan turut diperiksa.
Katanya, hasil pemeriksaan sejumlah 267 saman dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, tiada cermin sisi, lesen kenderaan tamat tempoh, kesalahan nombor plat, ubah suai ekzos, kenderaan tiada insurans dan brek tidak berfungsi.
“Sejumlah 39 motosikal disita, empat tangkapan dibuat di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 manakala hasil saringan air kencing oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) terdapat seorang individu didapati positif dadah jenis THC.
“Pemantauan dan risikan operasi Ops Samseng Jalanan akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.
Operasi selama empat jam itu membabitkan kira-kira 70 anggota dari Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Alam Sekitar dan AADK.
Sumber: Bernama