
Di pasaran sekarang adalah model ketiga dan Fiat masih mempercayainya dan baru sahaja memperkenalkan versi 2021.
Selain mempertingkatkan model sedia ada, ada satu varian baharu yang kelihatan menyerlah iaitu Panda Sport.
Satu lagi keunikan Panda ialah pacuan 4x4 dengan enjin kecil 0.9 liter Twinair berkuasa 85hp.
Lagi pilihan enjin ialah 1.0 liter mild hybrid berkuasa 70hp yang baru diperkenalkan pada awal 2020.
Secara keseluruhannya ada tiga varian utama untuk pasaran United Kingdom iaitu Panda Life, Panda Cross dan Panda Sport.
Panda Life

Panda Life merupakan varian aras permulaan dengan roda besi manakala Panda City Life pula lebih lengkap diantaranya dengan roda aloi 15 inci, rak bumbung, stereng balutan kulit dan kerusi dua warna.
Panda Wild 4x4 pula varian teratas untuk Panda Life dengan kelengkapan sama seperti Panda City Life dan menggunakan pacuan semua roda, pengunci gear pembeza belakang (rear differential gear locking) dan skid plate di depan dan belakang.
Panda Cross

Panda City Cross pula mempunyai penampilan berbeza dengan lampu utama DRL LED, roda aloi, kemasan pada pintu dan skid plate.
Bahagian dalam menggunakan balutan kulit jenis eko warna biru dan hitam pada panel pintu dan kerusi dengan sulaman perak. Kawalan suhu automatik dijadikan ciri standard.
Satu lagi varian iaitu Panda Cross 4x4 lengkap dengan mod pemanduan berbeza iaitu Auto, Off-road dan Hill Descent Control.
Bahagian depan dipasang cangkuk tunda manakala papan pemuka di dalam kereta diperbuat daripada sisa kayu yang diproses.
Panda Sport

Tampil sporti ialah Panda Sport dengan roda aloi 16 inci, angkup brek merah dan cermin belakang yang digelapkan.
Warna juga eksklusif iaitu kelabu kusam dan pilihan warna hitam kilat pada bumbung dan cermin sisi.
Pada bahagian dalam, papan pemuka diberi warna titanium, panel pintu balutan kulit eko, pelapik bumbung hitam dan kerusi baharu dalam warna kelabu gelap.
Stereng menggunakan sulaman merah bagi menyamai gaya luaran.

Rangkaian kuasa
Teknologi mild hybrid kini ditawarkan untuk kesemua varian Panda pacuan 4x2. Nadi utama ialah enjin 1.0 liter tiga silinder berkuasa 70 hp dengan motor elektrik Belt-integrated Starter Generator (BSG).
Sistem BSG berfungsi dengan mengembalikan tenaga semasa membrek dan nyah pecutan dan menyimpan tenaga di dalam bateri berkapasiti 11Ah.
Output tenaga 3.6kW diguna untuk menghidupkan semula enjin dalam mod Stop&Start dan membantu ketika pecutan.
Menyampaikan kuasa ke jalan raya ialah transmisi enam kelajuan baharu.
Harga
Di UK, Fiat Panda ditawarkan pada harga berpatutan iaitu £11,895 (RM64,435) bagi varian 1.0 Mild Hybrid manakala varian paling premium iaitu Cross 4x4 0.9 TwinAir berharga £17,995 (RM97,479).
Penulis: Muhammad Md Tajudin