Maserati Levante GT Hybrid 2023 kini di Malaysia, dari RM738,000

oleh Mohamad Hanif|
Naza Italia selaku pengedar kenderaan berjenama Maserati di Malaysia melancarkan secara rasmi SUV terbaharu Maserati Levante GT Hybrid 2023.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ia membawakan trenkuasa yang terdiri daripada enjin turbo bersesaran 1,995 cc yang dipadankan dengan sistem hibrid ringan Belt Start Generator (BSG) 48-voltan dengan hamburan kuasa 330 hp @ 5,750 rpm dan daya kilas 450 Nm @ 2,250 rpm.
 

Levante


Dengan bantuan sistem mild-hybrid itu tadi, ia mampu memberikan tujahan kuasa yang diperlukan semasa menggunakan mod SPort, selain menawarkan keseimbangan prestasi dan kecekapan di dalam mod Normal.

Berbanding varian V6, Levente GT Hybrid ini menawarkan 20 peratus lebih penjimatan (9.7 liter/100 km) walaupun mengekalkan tahap prestasi yang hampir sama.
 

Levante


Selain daripada itu, Maserati Levante GT Hybrid ini turut didatangkan dengan transmisi automatik ZF lapan kelajuan, serta sistem pacuan semua roda, di mana ia mampu memecut 0-100 km/j sepantas enam saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 245 km/j.

Sistem brek terdiri daripada angkup omboh berkembar dan rotor 345 mm di hadapan, diikuti angkup omboh tunggal dan rotor 330 mm di bahagian belakang.

Sistem gantungan boleh laras Levante ini menggunakan double-wishbone di depan, sistem multilink five-arm di bahagian belakang, dibantu dengan unit penyerap hentakan Skyhook.
 

Levante


Dari segi luaran, Maserati Levante GT Hybrid ini menerima ciri seperti lampu utama matriks adaptif LED penuh, aksen krom, rim aloi bersaiz 20 inci sementara ruang kabin pula diserikan dengan skrin sentuh sebesar 8.4 inci, tempat duduk kulit dan trim Piano Black.

Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) yang merangkumi kawalan jelajah adaptif (fungsi berhenti & mula), kamera keliling, bantuan titik buta aktif, bantuan lebuh raya, bantuan pengekalan lorong, pengecaman papan tanda trafik, amaran pelanggaran hadapan dan bantuan menurun cerun.
 

Levante


Harga jualan Maserati Levante GT Hybrid 2023 bermula dari RM738,000 tidak termasuk cukai, insurans dan opsyen penyesuaian, serta tertakluk kepada jaminan pengeluar selama tiga tahun tanpa had perbatuan.