Maserati GranTurismo 2023 dilancarkan - tiga varian termasuk varian EV 751 hp, 1,350 Nm!

oleh Mohamad Hanif|
Maserati baharu sahaja memperlihatkan model Grand Tourer (GT) GranTurismo 2023 yang boleh didapati dalam tiga varian utama, termasuk sebuah varian elektrik Folgore yang sangat berkuasa itu.
Perodua Aruz for Nov 2022 MREC

Dari segi dimensi, generasi baharu GranTurismo membawakan ukuran sepanjang 4,959 mm (4,966 mm untuk varian Trofeo), lebar 1,957 mm, tinggi 1,353 mm dengan jarak antara roda pula adalah sepanjang 2,929 mm.

Dibangun menggunakan senibina baharu ringan yang diperbuat daripada aluminium, magnesium dan keluli, Maserati GranTurismo 2023 ini turut mendapat tetapan suspensi double-wishbone dan paksi stereng semi-maya di hadapan, serta tetapan multi-link di belakang dengan spring udara kawalan elektronik secara standard.
 

nettuno


Enjin Nettuno 3.0 liter turbo berkembar bentangan V6 turut digunakan pada model GranTurismo ini, namun dengan beberapa ciri seperti penggunaan wet sump (berbanding dry sump pada MC20) dan juga teknologi penyahaktif silinder untuk tahap kecekapan yang lebih baik.

Versi asas Maserati GranTurismo Modena didatangkan dengan talaan 490 hp dan 600 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik ZF lapan kelajuan, dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 302 km/j.
 

Trofeo


Sementara versi Trofeo pula mendapat talaan yang lebih berkuasa, iaitu 550 hp dan 650 Nm, di mana ia turut menampilkan differential self-locking kawalan elektronik.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.2 saat dan kelajuan tertinggi 320 km/j.

Namun, GranTurismo Trofeo bukanlah model produksi yang paling berkuasa, memandangkan takhta tersebut kini dipegang oleh GranTurismo Folgore.
 

Folgore


Menampilkan trenkuasa elektrik dan senibina 800 voltan, GranTurismo Folgore dilengkapi dengan tiga motor elektrik (402 hp setiap satu) yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 751 hp dan daya kilas 1,350 Nm

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 2.7 saat, sementara pecutan 0-200 km/j pula adalah sepantas 8.8 saat sebelum menyaingi kelajuan tertinggi GranTurismo Trofeo.

Pek bateri berbentuk T berkapasiti 92.5 kWh pula menggunakan teknologi yang dipinjamkan daripada Formula E, selain didatangkan dengan ciri torque vectoring dan mod pemanduan tambahan Max Range.
 

Folgore


Menariknya, walaupun GranTurosmo Folgore merupakan varian yang paling berat (2,260 kg), ia mempunyai pengagihan berat badan yang sangat ideal 50:50 terima kasih kepada posisi baterinya berbanding Modena dan Trofeo dengan nisbah 52:48 disebabkan oleh berat nadi V6 di hadapan.

Generasi baharu ini membawakan bahasa rekaan Maserati yang terkini dengan mengekalkan elemen bonet clamshell yang panjang, hidung yang rendah, tiga liang pada bahagian fender depan, unit lampu yang diinspirasikan daripada MC20, serta unit lampu LED di bahagian belakang yang ringkas.

Membezakan antara ketiga-tiga varian tersebut adalah penampilan liang kemasukan udara yang lebih kecil pada model Folgore, sementara Modena pula mendapat kemasan apron depan berwarna gelap, manakala model Trofeo pula mendapat trim yang lebih sporti.
 

Modenas


Ketiga-tiga varian didatangkan dengan rim bersaiz 20 dan 21 inci, di mana ia juga turut dibezakan rekaannya berdasarkan varian Trofeo/Modena/Folgore.

Perbezaan yang ketara boleh dilihat di bahagian belakang, di mana model Folgore tidak didatangkan dengan sebarang tip ekzos, sementara dua model lain mendapat tetapan empat tip ekzos.

Sesuai dengan sifatnya, model Trofeo menampilkan diffuser belakang yang lebih menonjol, serta spoiler lip yang diperbuat daripada bahan gentian karbon.
 

Trofeo


Tiada sebarang gambar ruang kabin dibekalkan, namun Maserati menyebut GranTurismo ada dilengkapi dengan kokpit digital penuh yang terdiri daripada skrin kluster digital 12.2 inci, paparan head-up, skrin infotainmen 12.3 inci, serta tambahan skrin ketiga 8.8 inci pada konsol tengah untuk kawalan iklim digital yang mudah dan pantas.

Selain itu, ia juga turut dipasangkan dengan sistem audio Sonus Faber 1,195 watt dengan 19 pembesar suara, selain ciri bantuan pemandu termaju ADAS dengan teknologi pemanduan swapandu Tahap 2.

Harga jualan hanya akan diumumkan kelak, dengan penghantaran dijadualkan berlangsung pada suku kedua tahun 2023.