Maserati Ghibli Trofeo, Quattroporte Trofeo kini dengan nadi V8 Ferrari!

oleh Mohamad Hanif|
Maserati telah memperkemaskan penawaran model kenderaan bagi tahun 2020 dengan memperkenalkan sedan terpantas yang kini dikuasakan oleh nadi Modena, iaitu Maserati Ghibli Trofeo dan Quattroporte Trofeo selepas pengenalan SUV Levante Trofeo pada tahun 2018.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kedua-dua sedan tersebut kini dilengkapi dengan nadi bentangan V8 3.8 liter turbo berkembar dari Ferrari dan dibina khas di kilang Maranello mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Maserati.

Atas kertas, enjin V8 tersebut mampu menjana 580 kuasa kuda dan daya kilas 730 Nm dipadankan dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan dari ZF yang memacu roda belakang.

 


Dari segi pecutan 0-100 km/j, model Ghibli Trofeo mampu memecut sepantas 4.3 saat diikuti catatan 4.5 saat oleh Quattroporte Trofeo sebelum mencapai kelajuan tertinggi 326 km/j.

Apa yang membezakan antara model standard dengan versi Trofeo ini adalah kehadiran sistem gantungan jenis double wishbone hadapan dan multilink belakang yang dibantu dengan penyerap hentakan adaptif Skyhook serta bar anti-oleng datang dari kilang.

 


Dari segi luaran, Ghibli dan Quattroporte Trofeo memiliki rekaan yang garang seperti gril dengan bar menegak, diffuser yang lebih agresif, elemen warna merah pada saluran udara sisi, lencana Trident pada tiang C serta lampu rekaan boomerang yang diinpirasikan daripada 3200 GT dan Alfieri Concept.

Kedua-dua sedan turut didatangkan dengan set rim 21 inci Orione, sementara model Ghibli pula dilengkapi dengan bonet yang direka semula untuk meningkatkan kadar penyejukan enjin.

 


Elemen Trofeo turut menghiasi ruang dalaman menerusi jahitan embroidery 'Trofeo' pada perehat kepala, manakala selebihnya dikuasai oleh elemen gentian karbon serta kulit Pieno Fiore dengan jahitan kontras.

Terdapat sistem infotainmen dengan skrin sentuh bersaiz 10.1 inci, serta sistem bantuan pemanduan autonomi bagi memudahkan urusan pemanduan di dalam bandar mahupun di lebuhraya.

Kedua-dua model Ghibli dan Quattroporte Trofeo akan dipasang di kilang Grigliasco, Turin, Itali, manakala harga jualan pula akan diumumkan dalam masa terdekat.