Masalah sistem brek: Mercedes-Benz panggil balik sejuta kereta buatan 2004-2015

oleh SALINA JALIL|
Pembuat kereta terkemuka Jerman, Mercedes-Benz memanggil balik hampir sejuta kenderaan lama keluarannya di seluruh dunia kerana potensi mengalami masalah dengan sistem brek, kata pihak berkuasa pengangkutan persekutuan Jerman (KBA).
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Menurut laporan stesen penyiaran NDTV, KBA memaklumkan bahawa pengumuman itu melibatkan kereta yang dibina antara tahun 2004 dan 2015, siri SUV ML dan GL serta minivan mewah R-Class.

 

“Hakisan pada penggalak brek dalam kes paling teruk boleh menyebabkan sambungan antara pedal brek dan sistem brek terganggu.

 

“Akibatnya, fungsi brek boleh terhenti,” menurut kenyataan dari  KBA .

 

Tambah KBA, sebanyak 993,407 kenderaan Mercedes-Benz seluruh dunia sedang dipanggil balik termasuk sekitar 70,000 di Jerman.

 

Mercedes-Benz turut mengesahkan langkah memanggil semula itu dibuat berdasarkan analisis laporan terpencil untuk kenderaan tertentu.

 

Tambah syarikat itu, ia akan bermula dengan memanggil semula serta-merta dan menghubungi pemilik kenderaan yang berpotensi terjejas.

 

“Proses itu akan melibatkan pemeriksaan kenderaan yang berpotensi terjejas dan bergantung kepada hasil pemeriksaan bagi menggantikan alat ganti yang perlu.

 

“Sehingga pemeriksaan dilakukan, kami meminta pelanggan untuk tidak memandu kenderaan mereka,” kata syarikat itu.

 

 

– Agensi