Masalah kekurangan mikrocip - paling teruk dalam 30 tahun

oleh HEZERI SAMSURI|
Masalah kekurangan stok mikrocip yang melanda industri automotif dan juga pelbagai industri lain adalah yang paling teruk pernah berlaku sejak 30 tahun ini.

Itu ialah apa yang dikatakan oleh seorang penganalisa teknologi, Ted Mortonson kepada akhbar USA Today.

Industri automotif di US bakal mengalami kerugian jualan berjumlah US$60 billion untuk tempoh enam bulan pertama 2021.
Modenas

Penggunaan mikrocip di dalam kenderaan memang menjadi satu keperluan kerana teknologi yang semakin canggih di dalam bidang automotif.

Mikrocip diperlukan bukan sahaja untuk mengawal enjin dan transmisi, tetapi sistem-sistem keselamatan elektronik yang canggih yang semakin menjadi kelengkapan wajib untuk banyak pasaran negara-negara termasuk Malaysia.

Komponen kecil itu diperlukan untuk kawalan pendikit, bacaan daya kilas untuk tukaran nisbah gear, skrin sesentuh untuk sistem infotainment, kawalan lampu hadapan canggih dan pelbagai lagi fungsi kenderaan.

 

 

Di bawah adalah antara punca-punca kenapa secara tiba-tiba dunia kekurangan mikrocip:

1. Pandemik Covid-19 yang menutup banyak kilang untuk sementara waktu. Walaupun kilang sudah mula beroperasi, ia masih tidak dapat mengganti masa yang hilang.

2. Pembukaan kembali kilang automotif jauh lebih awal dari yang dijangka (akibat Covid-19) membuatkan vendor cip tidak mampu mengubah jadual pengilangan mereka bagi menghasilkan stok yang mencukupi untuk sektor automotif.

3. Permintaan alatan elektronik seperti telefon pintar dan konsol permainan video PlayStation dan Xbox yang secara tiba-tiba melonjak naik kerana kebanyakan penduduk global terpaksa berkurung di dalam rumah kerana pandemik yang berlaku. Ini menyebabkan permintaan mikrocip terus meningkat naik secara mendadak.

4. Peningkatan penjualan komputer riba dan komputer peribadi di pasaran dunia kerana ramai yang terpaksa bekerja di rumah sejak Covid-19.

5. Pergaduhan antara bekas Presiden US, Donald Trump dengan kerajaan negara China yang mengharamkan Huawei dari memasuki pasaran US menyebabkan banyak syarikat telefon pintar mula menyimpan stok mikrocip kerana takut pengharaman itu akan menggugat komponen mikrocip dari China.

6. Peristiwa kapal Ever Given yang terkandas di Terusan Suez turut mengganggu logistik penghantaran mikrocip ke seluruh dunia dan melambatkan proses pemasangan kenderaan. Walaupun banyak bekalan mikrocip dihantar melalui udara, 12 peratus dari keseluruhan perdagangan global masih akan melalui terusan tersebut.

7. Walaupun ada syarikat automotif yang menyimpan stok mikrochip untuk bekalan kecemasan atau mempunyai sistem vendor gantian sekiranya vendor-vendor utama mempunyai masalah, ia masih tidak mencukupi kerana peningkatan jualan kenderaand dan peningkatan penggunaan mikrochip di dalam sebuah kereta. Toyota contohnya mempunyai pembekal mikrochip yang lain selepas ia belajar dari tragedi tsunami dan banjir yang melanda Jepun dan Thailand dahulu tetapi masih menghadapi masalah yang sama.

 

 

 

Menurut kebanyakan media antarabangsa, masalah kekurangan stok mikrocip ini bakal berakhir seawal bulan Jun.

Buat sementara waktu, ada syarikat kenderaan yang terus mengahsilkan kenderaan tanpa memasang mikrocip. Kenderaan itu akan disimpan di dalam stok menunggu ketibaan komponen penting tersebut.

Namun begitu, masalah kekurangan stok mikrocip untuk automotif di China pula dikatakan bakal berlangsung selama satu dekad. Menurut Bloomberg Quint, masalah di China pula ialah kerana penignkatan permintaan untuk kenderaan elektrik (EV) serta masalah kurang pengetahuan teknikal mikrocip dalam pasaran domestik.

Jika kerajaan China tidak bertindak sekarang, masalah kekurangan mikrocip untuk sektor automotif China bakal berlangsung untuk 10 tahun.

 

 

 

Di Malaysia, Perodua sudah mengumumkan bahawa bekalan mikrocip untuk proses pembuatan produknya akan selesai seawal bulan Jun ini.

Syarikat kenderaan nombor satu Malaysia itu jelas mengalami kerugian dari jualan kenderaan mereka akibat masalah tersebut, menyebabkan syarikat kawalan Geely, Proton memintas untuk menjadi juara jualan bulanan kenderaan bagi beberapa segmen.

UMW Toyota juga dilihat mengalami masalah yang sama. Menurut seorang rakan Careta, beliau diminta untuk menunggu selama sembilan bulan bagi mendapatkan Toyota Hilux Rouge yang ditempah.

"Tak apalah, berbaloi menunggu kerana saya yakin dengan produk Toyota dan nilai jual baliknya yang sentiasa kukuh," ujarnya.

 

 

 

Kerajaan Korea Selatan pula memberikan insentif pelepasan cukai bernilai sehingga US$883 juta (1 trillion won) untuk industri cip tempatannya.

Ia akan membolehkan syarikat-syarikat mikrocip Korea Selatan menambahkan pelaburan mereka bagi meningkatkan pengeluaran mikrocip.

Mikrocip ialah eksport utama Korea Selatan, iaitu 20 peratus dari jumlah eksport keseluruhan negara tersebut.

Di US pula, Perdana Menteri Joe Biden mengumumkan perancangan pelaburan sebanyak US$50 billion bagi industri pengeluaran dan kajian semikonduktor untuk tujuan yang sama juga.

Siapa sangka komponen sebesar setem itu mampu menggugat industri automotif global yang bernilai RM84 billion untuk tahun 2020 sehingga satu dunia menjadi sasau! 

 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Masalah bekalan mikrocip ini membuatkan syarikat kenderaan dunia mengkaji semula cara sistem…