Menurut sumber-sumber industri yang ditemuramah, antara puncanya ialah pengguna yang sudah menerima kelulusan pinjaman kenderaan dari pihak bank dan juga menerima tawaran menarik untuk kenderaan mereka sekarang (trade in).
Ini menyebabkan mereka terdesak untuk membeli kenderaan dalam masa yang terdekat dan ditambah dengan keperluan untuk menggunakan kenderaan baharu semasa musim perayaan, pengguna ramai mencari stok-stok kenderaan yang ada dan tidak perlu menunggu.
Harga kenderaan terpakai juga dilihat melambung naik, menyebabkan penjualan kenderaan lama untuk membeli kenderaan baharu semakin kuat.
Kitaran ini dijangka akan berlanjutan sehingga syarikat-syarikat kenderaan mempunyai penyelesaian untuk isu cip elektronik mereka.
Namun begitu, sesetengah jenama nampaknya tidak begitu terkesan dengan masalah itu. Antaranya ialah Perodua dan Toyota, di mana pembeli sanggup menunggu kerana mereka yakin tempoh menunggu itu berbaloi dengan harga jual balik yang tinggi dari jenama-jenama tersebut.
Temuramah Careta hari ini dengan beberapa penjual kenderaan recond mendapati pasaran itu masih hangat tetapi tidak sehebat ketika sebelum Hari Raya.
"Masih ramai yang datang, tetapi tidak seramai semasa bulan Ramadhan tempohari. Jualan masih tinggi dan ini juga dibantu dengan kemudahan perbankan yang dilihat sangat positif," ujar seorang usahawan kenderaan import terpakai dari selatan tanah air.
Namun begitu, beliau menyuarakan kerunsingannya kerana ramai juga yang dilihat mempunyai keadaaan kewangan yang sederhana tetapi sanggup mengambil pinjaman maksimum demi untuk mencapai impian menggunakan kenderaan mewah.
"Memang pendapatan mereka mencukupi syarat-syarat minimum untuk membuat pinjaman tetapi mereka perlu berfikir tentang kos-kos penyelenggaraan dan juga susut nilai kenderaan itu," terangnya.
Kegilaan untuk membeli kenderaan mewah atau "rare" semakin menjadi tren sekarang dan ia jelas kelihatan di dalam dunia media sosial di mana ramai berlumba-lumba untuk memuat naik kenderaan-kenderaan baharu mereka.
Dari satu segi, ia adalah pertumbuhan positif untuk segmen automotif tetapi dari segi jangka masa panjang, ia mungkin memerangkap mereka di dalam beban hutang.