Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan nasional itu memaklumkan penerbangan MH2 ke London Heathrow dan MH22 ke Paris Charles de Gaulle yang berlepas pada 6 Mei lalu telah diarahkan untuk mengisi minyak di Doha, Qatar sebelum meneruskan perjalanan masing-masing ke destinasi akhir.
“Susulan penutupan Lapangan Terbang Amritsar (ATQ) dari 7 hingga 9 Mei 2025, semua penerbangan ke dan dari lokasi itu turut digantung sehingga tarikh tersebut,” jelas Malaysia Airlines.
Menurut MAB, keselamatan penumpang dan anak kapal kekal sebagai keutamaan utama, dan segala langkah berjaga-jaga sedang diambil secara berterusan.
Malaysia Airlines turut menasihatkan penumpang yang terlibat supaya menyemak status penerbangan masing-masing dan mengikuti saluran rasmi syarikat bagi mendapatkan maklumat terkini.
Sementara itu, beberapa syarikat penerbangan Asia turut mengambil langkah sama dengan membatalkan penerbangan ke dan dari Eropah susulan konflik bersenjata yang semakin memuncak antara India dan Pakistan.
Antara syarikat terlibat termasuk EVA Air, Korean Air, Thai Airways, Vietnam Airlines dan China Airlines.
Ketegangan tercetus selepas India melancarkan serangan ke atas Pakistan dan wilayah Kashmir yang ditadbir negara itu, manakala Pakistan pula mendakwa telah menembak jatuh lima jet pejuang India – insiden paling buruk antara kedua-dua kuasa nuklear itu dalam tempoh lebih dua dekad.
SUMBER : BuletinTV3