Maruti Suzuki Invicto 2023 dilancar di India, kembar Toyota Innova Zenix

oleh Muhammad Md Tajudin|
Maruti Suzuki Invicto 2023
Maruti Suzuki Invicto 2023
Model kereta yang dijenama semula dari pengeluar lain adalah perkara biasa dan sudah berlangsung lama di dalam industri automotif.

Bukan sahaja pengeluar kecil tetapi melibatkan jenama besar seperti Toyota yang saling bertukar model dengan Suzuki.

Sebagai contoh Suzuki Baleno dengan Starlet, Toyota Corolla dan Swace, Grand Vitara dan Urban Cruiser Hyryder. 

Kedua-dua Toyota dan Suzuki mempunyai pegangan di dalam syarikat masing-masing.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Maruti Suzuki Invicto 2023

 

Terbaru Maruti Suzuki (subsidiari Suzuki Motor Corporation) melancarkan Invicto di India.

Seperti yang boleh dilihat, Invicto adalah kembar Toyota Innova Zenix dengan perubahan kosmetik luar dan dalam.

Maruti Suzuki meletakkan Invicto sebagai kenderaan utiliti (UV) tiga baris premium dengan gayaan SUV.

Pernyataan itu dipamerkan pada kemasan depan yang banyak menggunakan perkakasan krom dan tampil premium.

 

Maruti Suzuki Invicto 2023

 

Bentuk lampu besar LED kekal sama kecuali bahagian dalam dan komponen lain seperti gril, lampu nyalaan siang LED dan bampar yang menggunakan identiti Suzuki. 

Bahagian sisi tiada yang diubah kecuali rim 17 inci dan berbeza dengan rim 18 inci pada Innova Zenix tempatan.

Bahagian belakang juga menggunakan perkakasan sama kecuali grafik dalaman lampu LED.

Bahagian dalam Invicto nampak premium dan menarik dengan riasan warna tembaga berbanding warna perak. 

 

Maruti Suzuki Invicto 2023

 

Set multimedia terdiri daripada skrin sentuh 10.1 inci, skrin instrumen pelbagai maklumat tujuh inci dengan grafik tema pemanduan dan indikator Eco Score dan enam pembesar suara.

Fungsi canggih Suzuki Connect Technology lengkap dengan arahan kawalan jauh untuk pengudaraan kerusi, penutupan tingkap, e-call dan sebagainya.

Ciri premium Invicto diserlahkan dengan bumbung panoramik dan lampu suasana, kerusi kulit tiruan dan permukaan sentuh lembut pada papan pemuka.

Kerusi pemandu mempunyai lapan larasan berkuasa dengan fungsi ingatan, pengudaraan kerusi depan, penyaman udara dua zon dan cermin depan potongan infra merah.

 

Maruti Suzuki Invicto 2023

 

Turut dilengkapi, penghadang matahari pintu belakang, skrin pandangan 360 darjah dan pintu but berkuasa.

Menggerakkan Invicto ialah rangkaian kuasa enjin 2.0 liter dengan sistem Hibrid Elektrik Pintar dan dipadan bersama transmisi e-CVT.

Enjin petrol menghasilkan 150 kuasa kuda (hp) pada 6,000 rpm dan tork 188Nm dari 4,400 rpm hingga 5,200 rpm.

Motor elektrik pula mempunyai output 83.73kW pada 4,000 rpm dan tork 206Nm. Kuasa keseluruhan ialah 183 hp.

 

Maruti Suzuki Invicto 2023

 

Dari segi keselamatan, Invicto dilengkapi enam beg udara, Parkir Brek Elektronik dengan Henti Automatik dan Kawalan Penstabilan Kenderan dengan Bantuan Henti Mendaki.

Turut dilengkapi Sistem Pengawasan Tekanan Tayar dan tiada teknologi bantuan pemanduan dinyatakan.

Maruti Suzuki menawarkan Invicto dalam tiga varian iaitu Zeta+ dengan tujuh atau lapan tempat duduk dan Alpha+ dalam pilihan tunggal tujuh tempat duduk.

Dimensi dua model itu berbeza, lebar dan tinggi Zeta+ berukuran 1,845 milimeter (mm) dan 1,795mm. Lebar Alpha+ ialah 1,850 mm dan tinggi 1,790 mm.

 

Maruti Suzuki Invicto 2023

 

Panjang dan jarak roda kedua-dua varian adalah sama iaitu 4,755 mm dan 2,850 mm.

Berkenaan harga, Zeta+ tujuh tempat duduk dijual pada 2,479,000.00 rupee (RM139,621) dan 2,484,000.00 rupee (RM139,906) untuk versi lapan tempat duduk.

Alpha+ dengan tujuh tempat duduk pula berharga 2,842,000.00 rupee (RM160,093).

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Maruti Suzuki Invicto 2023