MARii sedia program bantu PKS hadapi perniagaan digital

oleh Mohamad Hanif|
Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) bersedia untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) meningkatkan tahap pendigitalan, seiring dengan perubahan ekosistem perniagaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan kelak.

Ketua eksekutif MARii, Dato’ Madani Sahari berkata pelbagai program peningkatan daya upaya telah dibangunkan agensi kerajaan itu dalam membantu PKS menerapkan teknologi digital di dalam operasi harian, dan kini sedia memperluaskan program-program ini untuk membantu lebih banyak syarikat PKS menghadapi era pasca-PKP.

Sepertimana yang dinyatakan Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri, YB Dato' Seri Mohamed Azmin Ali, kerajaan telah bersetuju untuk membenarkan beberapa sektor beroperasi sepenuhnya bagi menangani krisis ekonomi semasa dan memberi anjakan kepada pemulihan sistem rangkaian bekalan.

Walau bagaimanapun, syarikat perlu memulakan “kebiasaan baharu” dengan mematuhi SOP dan garis panduan kawalan kesihatan yang ditetapkan.

“Selepas PKP berakhir, kita bakal melihat perubahan kepada corak dan tingkah laku pengguna, yang akan lebih berhati-hati dan lebih cenderung kepada membeli secara atas talian (online), mengakibatkan perniagaan yang tidak biasa dengan teknologi menjadi kurang relevan di dalam pasaran”, ujar Dato’ Madani.

“Penularan wabak COVID-19 akan turut mengubah kaedah dan SOP (standard operating procedure) syarikat dalam jangka masa panjang. Ini meningkatkan keperluan bagi penggunaan teknologi digital di dalam operasi syarikat, seperti analisa data, automasi, pengurusan inventori, perancangan pengeluaran dan penyelenggaran peralatan”, tambahnya lagi.

 


Pada tahun 2019, MARii telah melancarkan dua program bagi meningkatkan penerapan teknologi bagi PKS.

Program Pembangunan Teknopreneur (TDP - Technopreneur Development Program) telah dilancarkan MARii pada Oktober 2019 bagi memperkasakan penggunaan sistem dan alatan digital di dalam operasi perniagaan.

10 syarikat mikro, kecil dan  sederhana dari industri kraftangan, perabot dan makanan telah dipilih untuk menyertai program selama enam bulan bagi menerapkan teknologi dalam rekabentuk produk, pengurusan operasi, pemasaran dan penjualan secara digital dalam perniagaan masing-masing.

Satu lagi program, Platform Teknologi Pintar MARii (MITP – MARii Intelligent Technology Platform) telah dibangunkan MARii bagi mendokong keperluan infrastruktur teknologi industri 4.0 untuk PKS.

MITP adalah suatu penyelesaian sehenti bagi syarikat kecil dan besar, dalam mengurus dan mengawal operasi dengan mengguna pakai teknologi industri 4.0, terutamanya dari segi pengurusan data raya (Big Data Management).

Platform ini membolehkan pengumpulan, analisa dan integrasi data dari segala aspek operasi syarikat, bagi mengenalpasti tren dan corak perniagaan secara lebih tepat – justeru membolehkan rangkuman strategi dan keputusan yang lebih arif dibuat oleh pihak pengurusan.

Syarikat-syarikat yang berminat untuk menyertai program TDP dan MITP boleh berhubung terus dengan MARii melalui talian terus, laman web (www.marii.my), email ([email protected]) atau saluran media sosial (@MARiiMalaysia)

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Domestik
MARSAC dibangunkan dengan kolaborasi bersama Proton dan fasiliti ini terletak di dalam kawasan ibu…
Berita Domestik
Majlis tersebut dihadiri oleh Ketua Eksekutif MARii, Dato' Madani Sahari; Naib Chanselor UKM, Prof…
Berita Domestik
Majlis tersebut turut diserikan dengan 'kehadiran' Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri,…