MARii, InvestPerak bergabung percepat proses digitalisasi aktiviti promosi pelaburan

oleh Mohamad Hanif|
Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan Pusat Pengurusan Pelaburan Perak (InvestPerak) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai pendigitalan aktiviti promosi dan pemudahcaraan pelaburan di Perak.
Modenas

MoU itu bertujuan untuk mendigitalkan aktiviti promosi pelaburan InvestPerak melalui pendekatan berperingkat, bermula dengan penggunaan teknologi dalam proses tanpa kertas bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan di samping meneruskan budaya kerja yang mampan alam sekitar termasuk mengoptimumkan sumber.

Ia juga bertujuan mempercepatkan pembangunan modal insan dengan memberi tumpuan ke arah meningkatkan kemahiran tenaga kerja sedia ada bagi memudahkan mereka memasuki era digital dengan pengetahuan serta kemahiran digital yang diperlukan untuk mengendali dan mengekalkan peralatan digital serta teknologi.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MARii, Datuk Madani Sahari dalam satu kenyataan berkata inisiatif pendigitalan itu akan dilaksanakan melalui platform sedia ada yang dibangunkan MARii ke arah transformasi digital yang progresif di Perak dengan membolehkan sektor awam meningkatkan prosedur pentadbiran harian dan membantu negeri ini menggalakkan pelaburan melalui proses kelulusan yang lebih pantas serta mudah.

"Penggunaan teknologi digital ke dalam sektor awam menawarkan strategi yang berkesan melalui aplikasi yang didorong data untuk kerajaan terus memenuhi dan menangani peningkatan permintaan," katanya.

Menurut Madani lagi, pelaksanaan teknologi digital akan membuka peluang pekerjaan baharu dalam sektor berkemahiran tinggi dan boleh bertindak sebagai pemangkin untuk merangsang penyertaan bakat tempatan dalam bidang teknologi canggih serta meningkatkan keupayaan tenaga kerja negara.

Alat teknologi Industri 4.0 seperti Analitik Data Raya, platform awan, komputer berprestasi tinggi dan infrastruktur Internet Pelbagai Perkara (IoT) akan digunakan oleh InvestPerak dalam proses transformasinya, dan pada masa yang sama mengukuhkan infrastruktur untuk menyokong pengembangan ekonomi secara fizikal serta digital.

Sementara itu, CEO InvestPerak Sayed Shariffuddin Sayed Shamshuddin berkata dengan kerjasama MARii sebagai titik permulaan, tumpuan akan dimulakan dengan kelulusan pelaburan di peringkat negeri.

Pada masa akan datang, ia akan terus berkembang melalui proses kerajaan lain seperti kelulusan tanah, kebenaran pelaksanaan projek dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kelulusan pelaburan di negeri ini.

"Lebih penting lagi, ia akan membantu merangsang penggunaan teknologi digital kepada agensi negeri lain kerana kita sendiri akan menjadi model agar boleh dicontohi oleh agensi lain," katanya lagi - BERNAMA

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Majlis pelancaran tersebut diadakan di ibu pejabat MARii dan dihadiri oleh CEO MARii, Dato' Madani…
Berita Domestik
Program TTAP ini direka untuk meningkatkan skil dan ilmu pengetahuan bakat tempatan menerusi…
Berita Domestik
Pelbagai cadangan, forum, dan diskusi diajukan oleh pakar-pakar industri, pengguna serta badan…