Mari berkenalan dengan kereta pertama di bulan - Lunar Rover Vehicle (LRV)

oleh Mohamad Hanif|
Dalam sejarah automotif dunia, ciptaan Karl Benz diiktiraf sebagai kelahiran kepada kenderaan moden yang pertama dikuasakan oleh enjin pembakaran dalaman.

Ciptaan pertama bukanlah seperti apa yang kita nikmati pada hari ini, enjin dua lenjang 1.0 liter yang digunakan hanyalah menghasilkan dua per tiga kuasa kuda dan hanya mempunyai tiga roda sahaja.

Namun, ia merupakan permulaan kepada kepesatan industri automotif semenjak tahun 1885 sehinggalah kepada tarikh artikel ini ditulis.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Itu di bumi, bagaimana pula di bulan?

 


Bulan merupakan satelit semula jadi yang mengelilingi bumi dan ia tidak mempunyai sebarang penduduk (kecuali jika anda membaca novel fiksyen seperti Wira Tunggal), disebabkan tarikan gravitinya yang lemah. 

Semenjak manusia pertama kali menjejakkan kaki ke bulan, angkasawan juga memerlukan sebuah mod pengangkutan bagi memudahkan mereka 'bergerak' menjalankan kajian di atas sana. 

Lalu, terciptalah Lunar Roving Vehicle (LRV) yang mula menjalar di permukaan bulan pada tahun 1971, dua tahun selepas Neil Amstrong mendarat. 
 


LRV secara teknikalnya merupakan sebuah rangka kereta yang memiliki empat roda dan dua tempat duduk, namun tidak mempunyai sebarang kerangka luaran seperti sebuah kereta. 

Malah, ia juga tidak mempunyai stereng, akan tetapi sebuah tuil berbentuk T yang bertindak sebagai sebuah stereng kepada empat roda, memecut dan memberhentikan LRV. 

Walaupun ia hanya memiliki berat 210 kg dan dimensi panjang 3 meter sahaja, LRV direka supaya mampu membawa beban seberat 490 kg, dua kali lebih berat berbanding jisim kereta itu sendiri.

Empat roda yang dipasang bukanlah diperbuat daripada getah, akan tetapi ia diperbuat daripada jaringan metalik yang diakhiri dengan blok titanium kecil dalam bentuk V yang berfungsi sebagai benang tayar. 

Oleh kerana permukaan bulan yang berdebu, rekaan tayar ini sememangnya berkesan memudahkan pergerakan ketika menjalankan tugas. 
 


Bagi mengelakkan angkasawan tercampak keluar ketika terlanggar lubang atau batuan, tempat duduk LRV ini dilengkapi dengan tali Velcro yang memegang kemas pemandu dan juga penumpang. 

LRV dikuasakan oleh empat buah motor elektrik - bermakna pacuan semua roda - namun kuasa yang dihasilkan oleh keempat-empat buah motor itu hanya mampu mencapai satu kuasa kuda sahaja!

Kuasa tersebut disalurkan menerusi transmisi jenis cycloidal dengan nisbah 80:1, membolehkan LRV ini mampu mencapai kelajuan tertinggi sekitar 14 km/j. 

Untuk sebuah teknologi tahun 1970-an, sistem motor elektrik ini tidak dipadankan dengan pek bateri yang boleh dicas semula seperti kereta moden. 
 


Sebaliknya, kuasa elektrik diperoleh daripada dua bateri zink-perak seberat 54 kg dan kapasiti 8.7 kWh, membolehkan ia bergerak sejauh 90 km di permukaan bulan. 

Namun, NASA hanya mengehadkan jarak operasi LRV ini sejauh 7.6 km sahaja daripada tapak pendaratan Lunar Module. 

Kenapa 7.6 km? 

Ini membolehkan angkasawan berjalan kaki balik ke tempat asal sekiranya berlaku kegagalan fungsi mekanikal pada LRV ini (perlu diingat, graviti Bulan lebih lemah berbanding graviti Bumi). 

LRV dibina dengan kerjasama antara Boeing, General Motors dan juga NASA dengan kos (pada tahun 1969) dianggarkan sebanyak $38 juta (RM156 juta) untuk kesemua empat unit yang dibina. 

Jika dibandingkan dengan kos matawang semasa, ia bernilai sehingga $265 juta (RM1088 juta). 
 


Menariknya, jika anda ingin melihat dengan lebih dekat LRV ini, ketiga-tiga unit yang dibina masih berada di Taurus-Littrow - koordinat di bulan di mana lokasi pendaratan misi Apollo 17.

Manakala sebuah lagi LRV dijadikan sebagai sumber alat ganti memandangkan pembatalan misi Apollo 18. 

Menurut rekod, ketiga-tiga LRV itu telah bergerak sejauh 91.7 km di permukaan bulan tanpa sebarang kegagalan!