Manual, Klac dan ‘Stall’: Toyota & Subaru Hidupkan Jiwa ICE Dalam EV

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Dalam dunia automotif yang semakin senyap dan seragam akibat elektrifikasi, Toyota dan Subaru tampil dengan idea yang mungkin kedengaran pelik, tetapi sangat berani, transmisi manual untuk kereta elektrik.

Ya, tanpa enjin pembakaran dalaman, tanpa klac sebenar yang mengawal pembakaran, namun masih dengan tuil gear, pedal klac dan risiko kereta “mati” jika anda terlepas klac, bagi sesetengah peminat, inilah definisi keseronokan sebenar.

Melalui beberapa paten yang didaftarkan, Toyota dan Subaru membuktikan bahawa ketiadaan enjin tidak semestinya menamatkan penglibatan kaki kiri pemandu. 

Ketika kebanyakan pengeluar EV berlumba-lumba menjadikan kereta elektrik senyap seperti kapal angkasa dan semudah mungkin untuk dipandu, dua gergasi Jepun ini pula memilih pendekatan bertentangan, dengan sengaja menghidupkan semula aspek paling “menyusahkan” kereta petrol, semata-mata untuk pengalaman pemanduan yang lebih menyeronokkan dan beremosi.

Sistem Toyota sebenarnya bukan idea baharu sepenuhnya, ia telah “bersembunyi” dalam bentuk prototaip Lexus UX 300e sejak beberapa tahun lalu, dan kini dilaporkan semakin hampir ke fasa pengeluaran, seawal tahun ini. 

Sistem tersebut menggunakan tuil gear enam kelajuan fizikal serta pedal klac, yang berinteraksi dengan motor elektrik melalui perisian bagi meniru lengkung tork enjin petrol. 

Jika pemandu gagal menukar gear, kereta tidak akan memecut lebih laju, sebaliknya akan “melantun” pada had putaran digital, seolah-olah melanggar rev limiter sebenar.

Subaru pula tampil dengan pendekatan yang lebih radikal melalui paten yang digelar “jackrabbit start suppression device”. 

Sistem ini memaksa pemandu menekan pedal klac sepenuhnya sebelum kereta boleh dihidupkan, dan akan mensimulasikan keadaan “stall” sekiranya pedal dilepaskan terlalu pantas. 

Secara praktikal, ini bermakna pecutan 0-100 km/j menjadi lebih perlahan, tetapi tahap keterlibatan dan kepuasan pemandu meningkat dengan ketara.

Menariknya, kedua-dua sistem itu bukanlah perubahan mekanikal besar, sebaliknya bergantung kepada perisian pintar, di mana pemandu boleh memilih untuk mengaktifkan atau mematikan mod manual simulasi tersebut. 

Apabila terperangkap dalam kesesakan lalu lintas bandar, pemandu hanya perlu menekan satu butang untuk kembali ke mod EV automatik sepenuhnya, menyelamatkan lutut kiri daripada “senaman” yang tidak diminta.

Persoalan besar kini bukan sama ada teknologi ini boleh berfungsi, tetapi adakah pengguna sanggup membayar lebih untuk sebuah EV yang boleh “mati enjin” jika klac dilepaskan dengan salah.

Adakah simulasi enam kelajuan sudah memadai, atau adakah khabar angin mengenai perisian simulasi 14 kelajuan lebih masuk akal? 

Dan bagaimana pula dengan bunyi enjin palsu, adakah ia merosakkan pengalaman, atau sebenarnya perlu untuk membantu penentuan masa pertukaran gear?

Lebih penting, patutkah teknologi ini dihadkan kepada model prestasi dan sporty sahaja, atau wajar diperkenalkan pada model arus perdana seperti Toyota RAV4 elektrik pada masa depan? 

Jika tujuannya adalah untuk mengembalikan keseronokan memandu, maka persoalan ini menjadi semakin relevan.

Apa yang jelas, Toyota dan Subaru sedang mencabar naratif bahawa kereta elektrik mesti membosankan dan steril. 

Dalam era di mana pemanduan semakin dipermudahkan oleh teknologi, idea untuk sengaja menyukarkan pengalaman mungkin kedengaran aneh. 

Namun bagi peminat automotif sejati, hakikat bahawa sebuah EV boleh “stall” mungkin bukan kelemahan, sebaliknya satu ciri yang menghidupkan kembali jiwa pemanduan yang hampir pupus.

 

Prototaip Lexus UX 300e 

 

Sumber: carnewsnetwork

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Lebih menarik, supercar ini bukan datang daripada jenama arus perdana, tetapi hasil gabungan…
Informasi
Trend ke arah SUV pada tahun 2000-an di Amerika Syarikat hanyalah satu daripada banyak perubahan…
Informasi
Namun pada tahun 2009, Nissan memperkenalkan teknologi untuk mengautomasikan proses tersebut dan…