Terbaharu, Mansory mendedahkan hasil karya mahal mereka yang dinamakan sebagai P9LM EVO 900, di mana angka 900 itu membawa maksud kuasa kuda yang mampu dihamburkan oleh jentera 911 ini.
Nadi asal 3.0 liter flat-six itu telah dipadankan dengan unit pengecas turbo yang lebih besar, diikuti dengan sistem intercooler baharu, sistem perpaipan 98 mm, sistem ekzos penuh yang dinaiktaraf, serta sentuhan magis Mansory.
Ia mampu menjana kuasa setinggi 900 hp dan daya kilas 1,009 Nm, di mana pecutan 0-100 km/j memakan masa 2.5 saat, sebelum mencapai kelajuan tertinggi 340 km/j.
Agresif mungkin satu perkataan yang sesuai dipadankan untuk Porsche 911 ini, memandangkan hampir segenap sudut ia telah diberikan kemasan gentian karbon terdedah, seperti contoh bonet hadapan, bampar depan dengan bukaan yang besar dan kepak aerodinamik, fender belakang yang lebih lebar, spoiler dwi-paksi bertindih, serta perumah cermin sisi.
Sementara pilihan warna pula adalah mengikut kehendak pelanggan. Unit yang dipamerkan ini membawakan kemasan warna dua tona hitam dan teal, dan tema yang sama turut dibawakan pada ruang kabin.
Di bahagian tersebut, ia mendapat kemasan balutan kulit dengan jahitan kustom, diikuti dengan elemen gentian karbon, serta tidak ketinggalan pelapik kaki dengan sulaman jenama Mansory.
Namun, disebalik cerita-cerita yang ditulis tadi, ada dua berita kurang baik.
Pertama, hanya 10 unit sahaja P9LM EVO 900 yang akan dibina, dan yang kedua, kos untuk mendapatkan sebuah unit Porsche 911 Turbo S talaan Mansory ini tidak langsung diberitahu kepada umum.