MANSORY Equestre – Ferrari 12Cilindri Diubahsuai Menjelang Monaco Yacht Show 2025

oleh Qalif Latif|
Nama MANSORY memang sinonim dengan ubah suai ekstrem, dan kali ini syarikat penala dari Jerman itu hadir dengan satu lagi projek luar biasa. Sempena Monaco Yacht Show 2025 (24–27 September), MANSORY bakal mempersembahkan kreasi terbaru mereka berasaskan Ferrari 12Cilindri, dikenali sebagai Equestre iaitu sebuah transformasi menyeluruh yang menampilkan sentuhan visual berani serta talaan prestasi khas.

MANSORY Equestre

Asas: Ferrari 12Cilindri

Model asas yang digunakan ialah Ferrari 12Cilindri, pengganti rasmi kepada 812 Superfast. Secara standard, ia dikuasakan enjin 6.5 liter V12 naturally aspirated berkuasa 819 hp, mampu berputar sehingga 9,500 rpm iaitu antara nadi klasik V12 terakhir di pasaran moden.

MANSORY Equestre

Untuk Equestre, MANSORY memperkenalkan sistem ekzos bulat empat corong baharu dengan kawalan valve, disertakan dua catalytic converter sport. Tujuannya bukan sekadar memberi bunyi lebih garang, tetapi juga meningkatkan respons kuasa pada rpm tinggi.

Rekaan Luar: Agresif & Sarat Dengan Gentian Karbon

Bahagian visual pula lebih ekstrem. Equestre menampilkan kit badan penuh dengan bonet gentian karbon, panel forged carbon pada bampar depan, fender, cermin sisi, tiang bumbung dan diffuser belakang. Cat utama ungu gelap digabungkan dengan gradasi hitam di bahagian belakang, manakala kemasan emas digunakan pada caliper brek dan diffuser untuk menaikkan aura mewah.

MANSORY Equestre

Ciri ikonik Ferrari moden turut dikekalkan iaitu panel hitam pada fascia depan, seperti dilihat pada SF90 dan 849 Testarossa. Sebagai sentuhan terakhir, jalur Tricolore Itali membelah badan kereta dari depan ke belakang, simbolik kepada DNA Itali yang masih utuh meski sudah diolah MANSORY.

Rim pula ialah rekaan baharu VF.5 forged aluminum berwarna hitam berkilat, bukan sekadar gaya tetapi juga mengurangkan berat unsprung untuk pengendalian lebih tepat.

MANSORY Equestre

Kabin: Luksuri Eksklusif

Masuk ke ruang dalaman, tema ungu terus mendominasi dari stereng hingga ke tempat duduk. Warna kelabu menjadi kontras, manakala material premium seperti Alcantara pada headliner serta kemasan gentian karbon terdedah dipadankan secara meluas. Seperti kebiasaan MANSORY, hampir semua aspek boleh ditempah mengikut kehendak pemilik sama ada mahu padanan dengan yacht peribadi atau jet mewah.

MANSORY Equestre

Eksklusiviti & Strategi Pemasaran

MANSORY masih belum mengumumkan jumlah unit yang akan dihasilkan, tetapi ia bakal ditawarkan dalam bentuk coupe atau roadster. Pemilihan Monaco sebagai lokasi debut bukan kebetulan kerana ia adalah pentas utama golongan elit, sesuai dengan imej eksklusif Equestre.

Tahun ini sahaja, MANSORY sudah tampil dengan versi radikal untuk Ferrari Purosangue dikenali sebagai Pugnator Tricolore ketika Top Marques Monaco. Kini giliran 12Cilindri mengambil spotlight dengan Equestre, membuktikan bahawa MANSORY masih belum habis bermain dengan portfolio Ferrari.

 

Sumber: MANSORY