Malindo Air tawar 6 penerbangan sehari ke Langkawi bermula 16 September

oleh SALINA JALIL|
Syarikat penerbangan Malindo Air menawarkan enam penerbangan setiap hari ke Langkawi susulan pembukaan semula sektor pelancongan secara gelembung perjalanan ke pulau itu, bermula 16 September ini.


Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri, berkata lima daripada penerbangan itu adalah dari Lapangan Terbang Suktan Abdul Aziz Shah atau dikenali sebagai Subang Skypark dan satu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

 

Sehingga kini, Malindo Air beroperasi secara dua penerbangan harian antara Langkawi dan Subang Skypark yang menjadi pilihan bagi perjalanan domestik.

 

"Sempena pembukaan semula Langkawi khusus buat individu yang sudah lengkap divaksin selain sambutan Hari Malaysia pada 16 September, Malindo Air menawarkan 15 kilogram (kg) percuma bagasi.

 

"Ia diberikan kepada semua pemegang tiket 'Super Saver' yang melakukan perjalanan dengan semua penerbangan kami," katanya melalui kenyataan, semalam.

 

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan sektor pelancongan di beberapa destinasi akan dibuka di bawah program gelombang perjalanan dengan Langkawi dipilih sebagai projek rintis, bermula 16 September ini.

 

 

Pada masa sama, Mushafiz Mustafa berkata, 2021 adalah tahun yang mencabar buat industri penerbangan namun keadaan kini disifatkan semakin baik.

 

Malah, katanya, pembukaan semula Langkawi sangat bernilai bagi memajukan semula industri penerbangan dan pelancongan yang terjejas teruk.

 

Katanya, pihaknya berharap pembukaan semula ini akan memberi nafas baharu buat semua pihak yang berkenaan.

 

"Malindo Air akan bekerjasama dengan kerajaan, Lembaga Pembangunan Langkawi dan Tourism Malaysia untuk memastikan inisiatif pelancongan ini berterusan dengan kaedah selamat dan berkualiti.

 

"Kami juga memastikan semua kakitangan kami lengkap divaksin untuk mewujudkan suasana yang lebih selamat kepada orang ramai dan pelanggan," katanya.

 

Beliau berkata, perjalanan dalam tempoh COVID-19 dijangka menjadi lebih kompleks di mana penumpang masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan sekatan tertentu yang masih perlu diguna pakai.

 

Katanya, susulan berlaku perubahan ekoran COVID-19, Malindo Air mengambil langkah selamat yang lebih ekstrem dengan meningkatkan pembersihan kabin dan pembasmian kuman.

 

"Setiap pesawat Malindo Air dilengkapi dengan tapisan udara partikel keberkesanan tinggi (HEPA) yang mengeluarkan lebih dari 99.9 peratus mikrob di udara.

 

"Oleh itu, udara kabin disegarkan setiap dua hingga tiga minit sepanjang penerbangan," katanya.

 

Beliau berkata, untuk maklumat terkini mengenai aktiviti dan promosi terkini Malindo Air, boleh berhubung melalui Twitter (twitter.com/@malindoair), Facebook (facebook.com/MalindoAirMalaysia) atau Instagram (instagram.com/malindoair).

 

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut laporan Astro Awani, dua penerbangan itu telah pun dijadualkan semula, dan Prosedur Operasi…
Berita Domestik
Berdasarkan laporan daripada Sinar Harian, pihak Malindo Air akan menghubungi semua penumpang yang…
Berita Domestik
  Dengan menggunakan tangga pagar #Malindo antara yang mengucapkan selamat tinggal kepada syarikat…