Malaysia sasar jadi negara neutral karbon seawal 2050

oleh HEZERI SAMSURI|
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa Malaysia akan tetap dengan sasarannya untuk menjadi negara neutral karbon seawal tahun 2050.

Beliau menambah bahawa usaha-usaha untuk mempercepatkan pembangunan di dalam sektor ekonomi hijau, penghasilan tenaga mapan dan transformasi sektor air perlu kekal menjadi teras kepada pembangunan sosio-ekonomi Malaysia.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Kerajaan juga akan mula mengambil kira prinsip alam semulajadi, sosial dan tadbir urus di dalam setiap keputusan yang akan diambil.

Malaysia juga akan memperkenalkan konsep harga karbon (carbon pricing) dan cukai karbon disamping beberapa lagi cara untuk menurunkan kadar penghasilan karbon negara selepas kajian strategi pembangunan karbon rendah untuk jangka masa panjang selesai pada penghujung 2022.

Ismail juga berkata Malaysia sudah memberikan komitmen untuk tidak lagi membina janakuasa yang menggunakan arang batu. 

"Saya sedar bahawa perancangan menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon ini memerlukan usaha yang bersepadu dari semua pihak dan komitmen dan pelaburan yang tinggi dalam usaha penghijauan.

"Tetapi saya yakin dengan semangat Keluarga Malaysia, aspirasi ini boleh menjadi kenyataan dan memastikan negara setara dengan negara-negara lain dalam usaha untuk menangani perubahan iklim dunia dan meningkatkan nilai kompetitif negara," ujar beliau ketika pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Malaysia sekarang menghasilkan 0.7 peratus dari gas rumah hijau global.

 

 

Di bawah ialah antara perancangan yang diumumkan untuk sasaran Malaysia sebagai negara neutral karbon.

- Polisi Tenaga Nasional akan diumumkan untuk membantu pelaksanaan strategik yang mendukung aspirasi Malaysia sebagai negara neutral karbon.

- Beberapa janakuasa di dalam negara akan ditukar dari penggunaan arang batu kepada gas.

- Undang-undang berkaitan penjimatan tenaga akan diperkenalkan untuk mengawal penggunaan tenaga tinggi dari pengguna sektor industri dan komersil.

- Penggunaan tenaga dari solar, biojisim dan biogas akan meningkat kepada 31 peratus dari kapasiti terpasang menjelang 2025.

- Model ekonomi kitaran akan diperkenalkan di bawah RMK12 untuk mengurangkan pencemaran, penghasilan sisa terbuang dan kebersandaran pada punca alam semulajadi.

- Konsep tanggungjawab penghasil (producer responsibility) akan ditingkatkan untuk memastikan penggunaan dan pembuatan lestari dapat dilaksanakan.

- Pelaburan hijau akan digalakkan, termasuk projek-projek di bawah kendalian usahasama syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan.

- Pembangunan bandar-bandar hijau akan diteruskan dan ditingkatkan, dan sejumlah 120 badnar-bandar disasarkan akan mencapai status bandar lestari.

- Inisiatif Pelan Tindakan Bandaraya Hijau dan sistem data awam beranalisis pelbagai dimensi akan diperkenalkan.

- Penekanan kepada pembangunan industri pembinaan kenderaan cekap tenaga untuk menyokong inisiatif mobiliti mesra alam sekitar.

- Pelan "roadmap" untuk mengurangkan penghasilan gas rumah hijau dan pelan adaptasi nasional akan diperkenalkan.

Ismail bagaimanapun yakin bahawa unjuran pendapatan negara dari sumber hijau ini akan meningkat kepada 25 peratus menjelang 2025.

Ini ialah satu langkah pertama dari negara dalam usaha untuk menjadikan negara lebih kompetitif di dalam suasana rendah karbon.

Negara neutral karbon pula bermakna penghasilan karbon perlu seimbang dengan penyerapan karbon dari atmosfera melalui kawasan tadahan karbon (carbon sink).

Kawasan tadahan karbon termasuk kawasan semula jadi seperti hutan hujan, tanah dan lautan yang mampu menyimpan karbon dioksida.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Kerajaan antara lain melaksanakan beberapa inisiatif iaitu menyediakan perkhidmatan tunda kereta…
Berita Domestik
Mesyuarat MPN itu juga akan memperhalusi cadangan untuk membuka sempadan negara yang telah ditutup…
Berita Domestik
Perjalanan merentas sempadan dan negeri masih tidak dibenarkan di bawah Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan…