Malaysia perlu ada gaji minimum untuk jurutera

oleh HEZERI SAMSURI|
Malaysia sepatutnya mempunyai gaji minimum untuk memastikan jurutera-jurutera berbakat kekal bekerja di dalam negara.

Isu itu ditimbulkan oleh Ruslin Tamsir, jurutera tempatan yang pernah bekerja di syarikat Harman International Industries di Munich, Jerman. Beliau juga adalah jurutera yang mencipta teknik pemasangan gril pembesar suara untuk supercar McLaren.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Sebenarnya ramai jurutera-jurutera Malaysia yang bagus masih bekerja dengan syarikat-syarikat besar di luar negara kerana kadar gaji yang tidak setimpal diterima mereka di sini," terang Ruslin melalui perbualan telefon.

"Mereka bukan tidak mahu pulang dan menyumbang tenaga di Malaysia, tetapi taraf gaji yang diberikan jauh lebih rendah dari apa yang mereka terima di negara-negara barat," sambung Ruslin lagi.

Beliau bersetuju bahawa negara barat memang akan sentiasa menawarkan pakej yang lebih lumayan berbanding dengan Malaysia.

 

 

"Kita bukanlah meminta agar gaji jurutera tempatan sama seperti yang diterima di negara-negara maju tetapi sekurang-kurangnya, ia perlu lebih tinggi dari apa yang ada sekarang agar kita mampu membina ekosistem kejuruteraan yang lebih baik.

Gaji asas jurutera di Malaysia sepatutnya mempunyai tangga gaji minimum, contohnya bermula dari RM2,800 sebulan untuk gaji permulaan bagi graduan baharu dalam bidang kejuruteraan automotif," kata Ruslin.

Ruslin seterusnya menerangkan jurutera adalah antara profesion yang dihormati di Jerman dan kerana itu negara tersebut terkenal dengan mutu kejuruteraan yang tinggi.

"Negara itu menghormati bakat dan kemahiran yang ada pada individu, bukannya warna kulit atau agama," terang Ruslin lagi. 

Namun begitu Ruslin berkata sebelum tangga gaji boleh dinaikan, kepakaran dan mutu jurutera yang baharu keluar dari universiti juga perlu ditingkatkan.

 

 

"Di Jerman, universiti perlu memberikan fokus kepada kerja-kerja makmal dan lapangan agar jurutera yang dihasilkan turut mempunyai kepakaran dalam bidang praktikal dan bukan hanya teori sahaja," tambah Ruslin.

"Memang jurutera tidak perlu melakukan kerja-kerja fizikal sebanyak apa yang dilakukan oleh seorang juruteknik contohnya. Ini ialah kerana tugas jurutera sebenarnya adalah untuk menyelesaikan masalah-masalah secara analitikal, statistikal dan dalam cara yang sistematik serta menurut metodologi yang betul.

Pendapat beliau disokong oleh seorang lagi jurutera warga Malaysia yang kini bekerja di sebuah negara Eropah.

Jurutera yang berasal dari Trengganu dan kini menetap di Perancis itu berkata gaji asas jurutera yang baharu keluar universiti di Malaysia adalah terlalu rendah.

"Gaji asas jurutera di Malaysia sekarang ada yang lebih rendah dari apa yang saya terima semasa saya mula bekerja dalam tahun 1998," terang beliau yang tidak mahu dikenali.

 

 

"Mutu graduan juga perlu dilihat semula. Kebolehan jurutera bukan hanya tertumpu dari segi teori, tetapi juga praktikal agar mereka mampu berfikir di luar kotak. Untuk menghasilkan graduan-graduan sebegitu, kita kena lihat juga tenaga pengajar. Jika pengajar tidak pernah bekerja sebagai jurutera, bagaimana ia mahu menghasilkan jurutera yang bagus.

Di Eropah, mereka yang mempunyai pengalaman bekerja boleh menjadi pensyarah dengan gaji yang lebih tinggi. Di Malaysia, saya lihat sukar untuk itu terjadi," luah beliau.

Mohd Firdaus Basri, seorang jurutera yang kini memiliki firma perunding juga menyatakan perlu ada kawalan untuk memastikan mutu jurutera di Malaysia dijamin.

"Kita memang mempunyai lambakan jurutera-jurutera kerana penghasilan graduan-graduan baharu yang melebihi permintaan industri. Kawalan perlu wujud agar kita dapat memastikan tangga gaji lebih menarik dan hanya syarikat-syarikat yang benar-benar serius dan berkualiti sahaja mampu untuk menawarkan perkhidmatan kejuruteraan yang baik," Firdaus berkata.

 

 

 

"Kualiti perlu ada untuk menjamin gaji yang lebih menarik. Di Malaysia, tugas seorang jurutera sendiri masih tidak difahami ramai. Malah ia sering dianggap sama dengan tugas seorang juruteknik," terang Firdaus.

Kewujudan tenaga pakar dari Malaysia di dalam dunia automotif global bukanlah sesuatu yang baharu. Penulis bertemu dengan beberapa orang dari mereka dan kesemuanya memberikan alasan yang sama - gaji jurutera tidak tinggi di Malaysia walaupun oleh syarikat-syarikat automotif yang besar.

Dalam masa yang sama, pengaliran keluar tenaga pakar bukan hanya masalah di Malaysia sahaja. Ia adalah sesuatu yang normal tetapi ia tidak bermaksud bahawa Malaysia perlu mendiamkan diri kerana jika ia mahu menjadi sebuah negara yang maju, ia memerlukan kepakarannya sendiri.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Ini kerana mereka mendakwa kenderaan elektrik yang rata-ratanya lebih berat jika dibandingkan…
Berita Global
Sepanjang kerjayanya, Materazzi telah menyertai pembangunan beberapa buah model ikonik daripada…
Berita Domestik
Apa yang menarik, baru-baru ini lelaki tersebut memuat naik satu kisah yang cukup menggembirakan…