Malaysia ketatkan syarat EV CBU - Thailand juga mahu cukai EV import dinaikkan

oleh Firdaus Razani|
gambar hiasan
Menurut portal Thailand, sekumpulan persatuan automotif utama negara itu kini mendesak kerajaan supaya menaikkan cukai eksais bagi EV import sepenuhnya (completely built-up / CBU) sehingga 32 peratus bagi melindungi industri automotif tempatan daripada lambakan EV murah dari China.

Cadangan tersebut dikemukakan oleh gabungan 10 persatuan automotif termasuk Persatuan Kenderaan Elektrik Thailand (EVAT) dan Persatuan Pengeluar Komponen Automotif Thai (TAPMA), yang mewakili lebih 1,500 penggiat industri.

Mereka mendakwa industri automotif Thailand kini sedang berdepan tekanan besar susulan peralihan pantas ke arah EV, selain kelebihan kos yang dimiliki pengeluar dari China.

Menurut kumpulan itu lagi, kos menghasilkan kenderaan di Thailand dianggarkan sekitar 30 hingga 40 peratus lebih tinggi berbanding mengimport terus dari China, sekali gus meletakkan pengeluar tempatan dan pembekal alat ganti dalam keadaan sukar untuk bersaing.

Menariknya, perkembangan itu turut dilihat mempunyai persamaan dengan pendekatan yang sedang diambil oleh Ministry of Investment, Trade and Industry atau MITI di Malaysia ketika ini.

Sebelum ini, MITI telah beberapa kali menjelaskan bahawa dasar EV negara bukan sekadar mahu menarik pelaburan asing, tetapi turut memastikan pengeluar global benar-benar membangunkan operasi tempatan, melibatkan vendor domestik serta membantu pembangunan rantaian bekalan automotif Malaysia.

Malah, dalam laporan oleh The Edge Malaysia sebelum ini, MITI menegaskan syarat yang dikenakan terhadap pelaburan automotif baharu bukan bersifat diskriminasi terhadap mana-mana jenama, sebaliknya sebahagian daripada kerangka dasar baharu yang terpakai kepada semua pengeluar.

Antara syarat yang pernah dilaporkan termasuk keperluan eksport majoriti pengeluaran, penglibatan vendor tempatan, operasi pemasangan bernilai tinggi seperti body shop dan paint shop, selain penetapan harga minimum tertentu bagi model EV CKD untuk pasaran domestik.

Pada masa sama, Malaysia juga bakal memperkenalkan syarat lebih ketat terhadap EV import CBU bermula Julai 2026, termasuk nilai minimum cost, insurance and freight (CIF) sebanyak RM200,000 serta kuasa minimum 180 kW atau 245 PS.

Langkah itu secara tidak langsung dijangka mengehadkan kemasukan EV CBU lebih mampu milik ke pasaran tempatan, selain menggalakkan lebih banyak pengeluar beralih kepada operasi pemasangan tempatan (CKD).

Situasi itu dilihat hampir selari dengan kebimbangan yang sedang dibangkitkan di Thailand, apabila industri automotif negara tersebut mahu memastikan ledakan EV dari China tidak menjejaskan kelangsungan pembuat komponen dan vendor tempatan.

Malah, kumpulan industri Thailand turut mencadangkan syarat kandungan tempatan sehingga 80 peratus bagi memastikan pembuat komponen tempatan terus relevan dalam era elektrifikasi.

Secara keseluruhan, kedua-dua negara ASEAN itu kini nampaknya berkongsi matlamat yang sama iaitu mahu memastikan kemasukan EV asing bukan sekadar merancakkan jualan, tetapi turut membantu membangunkan industri automotif domestik untuk jangka panjang.

 

Baca penuh di TheNation