"Malaysia adalah lokasi yang sangat menarik, kita adalah pengeksport produk semikonduktor keenam terbesar di dunia. Walaupun kita mungkin tidak mempunyai jenama keluaran tempatan, Malaysia memainkan peranan penting terutamanya di dalam proses 'backend'," katanya ketika menyampaikan ucaptama sebelum merasmikan pameran E-Mobility Asia di Kuala Lumpur pada Selasa.
Beliau berkata, semasa lawatannya ke Detroit, Amerika Syarikat (AS) tahun lalu, Setiausaha Perdagangan AS, Gina M. Raimondo memberitahu ketika dalam satu pertemuan bahawa apabila Malaysia melaksanakan sekatan pergerakan penuh semasa pandemik COVID-19, kilang automotif di Detroit terpaksa ditutup.
"Ini kerana cip yang mereka harapkan datang dari Malaysia dan beberapa syarikat semikonduktor di Malaysia memberikan sumbangan ketara dalam cip automotif global.
"Justeru, apabila bercakap mengenai industri automotif terutamanya elektrifikasi mobiliti, adalah penting untuk kita tidak bekerja secara 'silo' (bersendirian).
"Saya mahu melihat industri ini memupuk penciptaan produk baharu, reka bentuk litar bersepadu dan cip automotif yang dikeluarkan oleh Malaysia. Ini akan membolehkan Malaysia bukan sahaja mengeksport alat ganti automotif tetapi juga cip automotif," tambahnya.
Selain itu, Chin Tong berkata aspirasi lain adalah untuk mengurangkan penggunaan keseluruhan petroleum negara melalui elektrifikasi mobiliti.
"Jika anda bertanya, kebanyakan orang akan menyangka bahawa Malaysia adalah pengeksport bersih petroleum, itu tidak benar. Malaysia adalah pengimport bersih petroleum dan pengimport bersih ke-21 terbesar petroleum.
"Saya menggalakkan anda menawarkan idea baharu untuk membantu meneroka pendekatan yang berbeza, supaya elektrifikasi bukan sekadar peluang perniagaan untuk pengilang tetapi agenda nasional yang bertujuan mengurangkan penggunaan petrol secara keseluruhan," katanya.
Kerajaan Malaysia menetapkan sasaran untuk EV membentuk 20 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan (TIV) menjelang 2030, 50 peratus menjelang 2040 dan 80 peratus menjelang 2050.
"Walaupun ia kelihatan bercita-cita yang tinggi memandangkan kita bermula dari asas, Tinjauan EV Global tahunan Agensi Tenaga Antarabangsa menekankan beberapa arah trend utama...EV hanya membentuk dua peratus daripada TIV secara global pada 2018.
"Menjelang 2022, ia telah meningkat kepada 14 peratus daripada TIV di seluruh dunia...menjelang 2023, ia mencapai 18 peratus.
"Oleh itu, mencapai 20 peratus daripada TIV menjelang 2030 bukanlah sasaran yang sukar dicapai bagaimanapun ia memerlukan usaha bersepadu. Ia memerlukan kita berfikir di luar kotak (berfikir di luar kebiasaan)," katanya.