Malaysia Airlines tambah penerbangan Eropah, bantu penumpang terjejas akibat masalah global

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Malaysia Airlines menambah beberapa penerbangan ke Eropah bagi laluan Kuala Lumpur-London dan Kuala Lumpur-Paris bermula hari ini hingga Ahad ini bagi membantu penumpang terjejas susulan gangguan dalam rangkaian perjalanan global.

Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan berkata, langkah itu diambil bagi menyokong penumpang yang berdepan ketidaktentuan perjalanan antarabangsa ketika ini, selain memastikan kelangsungan perjalanan antara Asia dan Eropah.

Penerbangan tambahan itu membabitkan laluan Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Heathrow di London dan Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Charles de Gaulle Paris, selain penerbangan harian sedia ada yang terus dikendalikannya.

Katanya, semua penerbangan tambahan itu menggunakan pesawat Airbus A350-900 milik syarikat penerbangan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Airline Business Malaysia Aviation Group (MAG), Bryan Foong, berkata dalam situasi ketidaktentuan global, sektor penerbangan berperanan penting untuk memastikan dunia kekal berhubung.

"Di sebalik setiap perjalanan ini, terdapat keluarga yang berharap untuk bertemu semula, pelajar yang pulang ke tanah air dan pengembara yang cuba menyesuaikan perjalanan mereka dengan situasi global yang berubah.

"Malaysia Airlines meningkatkan kapasiti penerbangan di laluan penting dan bekerjasama rapat dengan rakan syarikat penerbangan bagi memastikan penumpang dapat terus bergerak dengan selamat dan boleh dipercayai antara Asia dan Eropah," katanya.

Foong berkata, pihaknya bukan sekadar mengendalikan penerbangan, tetapi turut berperanan memberikan kestabilan dan keyakinan kepada penumpang ketika keadaan perjalanan global tidak menentu.

Selain penerbangan tambahan itu, Malaysia Airlines turut bekerjasama dengan rakan syarikat penerbangan di Eropah dan Asia bagi memudahkan sambungan penerbangan seterusnya kepada penumpang terjejas di rangkaian lain.

"Malaysia Airlines juga akan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia menyesuaikan kapasiti penerbangan bagi memastikan sambungan rangkaian global kekal lancar.

"Penumpang boleh membuat tempahan melalui laman web rasmi Malaysia Airlines atau aplikasi mudah alihnya," katanya.

Berita Harian

Berita Berkenaan

Informasi
Bagi memastikan akses perjalanan yang lebih mudah sepanjang musim perayaan dan cuti sekolah, kedua-…
Informasi
"Tambahan terbaharu ini memaparkan komitmen berterusan kami untuk meningkatkan lagi kecekapan…
Informasi
Secara kolektif, sasaran itu direka untuk memperkukuh daya tahan kewangan jangka panjang MAG,…