Menurut Malaysia Aviation Group (MAG) dalam satu kenyataan, pada Selasa, penerbangan ke Doha (DOH) bagaimanapun akan terus digantung hingga Sabtu ini kerana syarikat penerbangan masih menilai situasi keselamatan.
Semua penerbangan lain, termasuk ke London (LHR) dan Lapangan Terbang Charles de Gaulle (CDG) di Paris kekal beroperasi mengikut jadual melalui laluan alternatif yang jauh dari zon konflik.
Menurutnya, penerbangan esok bagi MH156 Kuala Lumpur (KUL)-JED dijadualkan berlepas pada jam 9 pagi, manakala penerbangan MH157 (JED-KUL) pula pada jam 3.10 petang.
Pada Khamis, penerbangan MH156 (KUL-JED) dijadualkan berlepas pada jam 7 malam, manakala MH157 (JED–KUL) pada jam 1.10 pagi Jumaat.
Pada 8 Mac ini, penerbangan MH150 (KUL-JED) dijadualkan berlepas jam 1 tengah hari, dan MH151 (JED–KUL) pada jam 7.10 malam.
Bagi penerbangan membabitkan Madinah pula, MH158 (KUL-MED) dijadualkan berlepas pada jam 3.35 petang Khamis ini, manakala MH159 (MED-KUL) pula jam 9.30 malam hari sama.
Seterusnya pada 6 Mac ini, penerbangan MH152 (KUL-MED) dijadualkan berlepas pada jam 10.15 pagi, manakala MH153 (MED-KUL) pada jam 4.05 petang.
Semua masa terbabit adalah mengikut waktu tempatan.
Namun, menurut kenyataan itu lagi, perkhidmatan selepas 8 Mac ini masih tertakluk kepada semakan lanjut dan diselaraskan mengikut situasi.
Penumpang yang terjejas sedang dimaklumkan serta dibantu dengan pengaturan perjalanan alternatif sekiranya diperlukan.
Pada masa sama, Malaysia Airlines menekankan bahawa keselamatan dan kesejahteraan penumpang serta anak kapal adalah keutamaan.
Langkah proaktif diambil termasuk penggunaan laluan alternatif, koordinasi rapat dengan pihak berkuasa penerbangan, pengukuhan prosedur keselamatan, serta maklumat tepat masa untuk penumpang.
Penumpang dinasihatkan mengemas kini maklumat hubungan melalui 'My Booking' atau mendapatkan bantuan melalui Live Chat laman web Malaysia Airlines, atau menghubungi Pusat Perhubungan Global melalui talian 1 300 88 3000 (dalam Malaysia) atau +603 7843 3000 (luar Malaysia).
Menurut kenyataan itu lagi, Malaysia Airlines terus memantau perkembangan dan akan mengambil semua langkah perlu bagi memastikan operasi selamat serta boleh dipercayai.