Malaysia Airlines kaji tingkatkan kadar surcaj bahan api

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Malaysia Airlines sedang mengkaji untuk menaikkan kadar surcaj bahan api susulan peningkatan ketara harga minyak dunia ketika ini.


Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan Malaysia Airlines, Lau Yin May, berkata pihaknya sudah pun mengenakan sedikit surcaj bahan api pada kadar serendah AS$8 (RM35.17) sejak beberapa bulan lalu.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Katanya, dengan peningkatan ketara harga minyak dunia disebabkan oleh perang Russia-Ukraine, pihaknya menyaksikan kenaikan hampir sekali ganda harga bahan api itu ketika ini berbanding yang mereka ramalkan tahun lalu iaitu AS$88 setong.

"Ia (kenaikan harga minyak) memberi kesan teruk kepada prestasi kami dan kami telah memperkenalkan sedikit surcaj bahan api yang bermula beberapa bulan lalu serendah AS$8.

 

"Namun kami perlu mengkaji semula jika terdapat keperluan untuk menaikkan kadar surcaj ini seperti yang dilakukan oleh syarikat penerbangan lain di seluruh dunia yang melakukannya secara berperingkat.

 

"Kami tidak mempunyai jangka masa (kenaikan surcaj bahan api) ini akan dilakukan, namun secara jujurnya kami mengkajinya setiap hari kerana kami perlu kekal kompetitif tetapi pada masa sama kami sedar mengenai kemampuan pengguna untuk memastikan ia masih mampu milik," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran video keselamatan baharu syarikat penerbangan itu bertajuk 'Satu, Dua, Tiga, Jom!', di sini, semalam.

 

Yang turut hadir pengasas Enfiniti (M) Sdn Bhd, Puan Sri Tiara Jacquelina. Video keselamatan yang diarahkan bersama oleh Tiara itu menampilkan ramai personaliti termasuk bekas atlet gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi, Pengasas Mercy Malaysia, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, dan wakil Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong.

 

Video berdurasi empat minit 30 saat itu akan mula ditayangkan di pesawat Malaysia Airlines bermula Ogos ini.

 

Mengulas lanjut mengenai surcaj bahan api, Yin May berkata, ketika ini kenaikan surcaj yang dikenakan pihaknya hanya meliputi 10 peratus daripada kesan kenaikan harga minyak dunia.

 

"Sebaliknya, kami menyerap lebih 90 peratus kos kenaikan harga bahan api yang melonjak tinggi ketika ini," katanya.

 

Dalam pada itu Yin May berkata, berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa dan domestik pihaknya menyasarkan peningkatan lebih 70 peratus kapasiti tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK) daripada tahap pra-pandemik, menjelang akhir tahun ini.

 

Beliau berkata, permintaan yang semakin baik dan pergerakan penumpang terutama kemasukan pelancong ke dalam negara dilihat menggalakkan.

 

"Buat masa ini kami sudah mencapai 50 peratus ASK dan 50 peratus jumlah penerbangan daripada pra-pandemik.

 

"Peningkatan kapasiti pesawat ini disumbangkan oleh laluan utama Malaysia Airlines iaitu London di mana untuk kelas perniagaan sentiasa 100 peratus penuh, begitu juga dengan laluan ke Australia, manakala laluan domestik juga semakin mendapat permintaan.

 

"Mengikut pemerhatian kami, trend pelanggan domestik sekarang ini akan membuat tempahan tiket penerbangan lebih singkat iaitu dalam tiga ke lima hari saja sebelum perjalanan dan tinggal lebih lama," katanya.

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata, pertumbuhan itu juga didorong oleh insentif bebas cukai, pelancaran baharu seperti…
Berita Domestik
Menurut kenyataan itu angka penggunaan harian tertinggi adalah 1,200,433 yang dicatatkan pada 22…
Informasi
  Bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna lebuh raya, Plus mengeluarkan Jadual Cadangan…