Kejadian tersebut berlaku pada hari Khamis lepas di Jalan Lok Heng-Mawai, Kota Tinggi berdasarkan video yang tular di media sosial.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata, pemandu Toyota Wish yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun itu gagal mematuhi arahan untuk menghentikan keretanya, sebelum memecut laju ke kawasan kebun kelapa sawit di Felda Waha.
"Bagaimanapun, pemilik berdaftar kenderaan tersebut telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi bagi membantu siasatan.
"Hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit merupakan adik kepada pemilik berdaftar kenderaan tersebut dan usaha mengesannya masih dilakukan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi bilik gerakan IPD Kota Tinggi di talian 07-8837222 bagi membantu siasatan kes.
Di aplikasi TikTok, tular video yang memaparkan Toyota Wish berwarna putih dan bernombor pendaftaran JEX31 dikejar sebuah kereta peronda polis, yang dirakamkan pelbagai sudut oleh penduduk Felda Waha.
Sumber: Bernama