Mahindra lancar XUV700 - SUV kompak dengan logo baharu, dari RM68 ribu di India

oleh Mohamad Hanif|
SUV yang dilihat seakan sebuah model Renault ini sebenarnya merupakan sebuah model baharu di dalam segmen C yang baharu sahaja dilancarkan oleh Mahindra.

XUV700 merupakan SUV generasi baharu menggantikan generasi lama XUV500 (2011-2021) di mana ia kini membawakan logo dan identiti baharu Mahindra dengan harga jualan yang berpatutan.

Dijual pada harga bermula dari ₹1,199,000 (RM68,496), SUV XUV700 ini bakal bersaing dengan model Hyundai Alcazar, MG Hector Plus serta Tata Safari.
 

XUV700


Seperti yang disebutkan tadi, XUV700 merupakan model pertama yang membawakan logo baharu 'Twin Peaks' Mahindra, diikuti dengan rekaan lampu DRL signatur berbentuk C, serta rekaan gril yang lebih ringkas.

Selain daripada itu, bahagian sisi SUV ini tampil bersih rekaannya dengan pemegang pintu yang tertanam - ciri yang biasa didapati pada kereta mewah.
 

XUV700


SUV ini didatangkan dalam konfigurasi lima hingga tujuh tempat duduk, di mana ruang kabin mendapat papan pemuka yang lebih moden, skrin berkembar bersaiz 10.25 inci (versi asas dapat skrin tujuh atau lapan inci), sistem hiburan dengan sokongan Amazon Alexa, sistem audio Sony berkuasa 445W dengan 12 pembesar suara, roda stereng berbilang fungsi serta pemilihan mod pemanduan.

Tidak ketinggalan, sistem bantuan pemandu (ADAS) seperti kawalan jelajah adaptif, sistem pengecaman papan tanda trafik, serta bantuan suluhan tinggi automatik.
 

XUV700


Dari segi kuasa, Mahindra XUV700 didatangkan dalam pilihan enjin 2.0 liter turbo yang menghasilkan 197 hp dan 380 Nm, atau enjin diesel 2.2 liter turbo yang didatangkan dalam dua output yang berbeza, iaitu 153 hp/360 Nm, atau 182 hp/450 Nm.

SUV ini sudah pun boleh ditempah di India di mana ia bakal dieksport ke beberapa pasaran global dalam masa terdekat.

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut laporan daripada Car Advice, para peguam Jeep sedang cuba untuk menghalang penjualan…
Berita Global
Menerusi perancangan itu, Mahindra dikatakan akan memiliki sebilangan besar pegangan di dalam…
Berita Global
Tidak seperti operasi mereka di Thailand di mana hanya pemasangan sahaja dilakukan, Harley berminat…