Model trak pikap baharu ini dijangka akan berubah menjadi model produksi sebenar pada tahun 2025, dan bakal bersaing dengan trak pikap sedia ada (Ford Ranger, Toyota Hilux) di pasaran seperti Afrika Selatan, Australia dan India.
Model konsep Global Pik Up ini membawakan rekaan hadapan yang hampir sama dengan model SUV ladder-frame Mahindra Scorpio N, namun dengan rekaan jeriji yang berbeza, diikuti dengan bampar unik, lampu DRL menegak, serta kehadiran cangkuk tunda.
Bahagian profil sisi pula menampakkan jarak antara roda yang agak panjang, serta rekaan tingkap yang mengingatkan kita pada model Nissan Navara.
Bukan itu sahaja, Global Pik Up turut membawakan jarak lega bumi yang tinggi, tayar all-terrain, tempat pemijak sisi, snorkel, rak bumbung dengan lampu LED terbina, serta bed belakang yang menempatkan dua unit tayar simpanan.
Menurut laporan Autocar India, versi produksi Global Pik Up ini akan dibina berdasarkan kerangka ladder-frame Scorpio N, dengan enjin diesel aluminium mHawk generasi terbaharu yang dipadankan dengan transmisi manual atau automatik enam nisbah kelajuan.
Terdapat juga sistem pacuan empat roda 4WD, empat mod pemanduan (Normal, Grass-Gravel-Snow, Mud-Rut, Sand), sokongan 5G, bantuan parkir semi-automatik, dan kelengkapan ADAS Tahap 2.
Seperti yang dijelaskan pada perenggan atas, trak pikap baharu ini akan mula dipasarkan di Afrika Selatan, Australia, dan India, sebelum disusuli dengan pasaran New Zealand, Timur Tengah, beberapa negara ASEAN dan Amerika Latin.