Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, perbincangan itu turut mengambil kira aspek keselamatan dan keperluan penyelenggaraan sungai buatan berkenaan yang dibina sejak tahun 1970-an untuk tujuan pengairan pertanian.
"Langkah ini bukan hanya untuk keselamatan jalan raya, tetapi juga penting bagi memastikan kelancaran sistem saliran yang diselia MADA.
"Kalau diperhatikan garisan penanda itu sudah ada, dan saya percaya cadangan ini yang dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika lawatannya tempoh hari adalah wajar dan disambut baik oleh JKR," katanya.
Dr Ismail berkata penghadang jalan akan dipasang terlebih dahulu sebelum kerja menaik taraf terusan dijalankan bagi memastikan aliran air tidak terganggu dan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.
"Kerja penyelenggaraan sungai tidak akan dilakukan dari tepi jalan, sebaliknya menerusi laluan khas yang akan dibina di bahagian bertentangan," katanya.
Pada 8 Julai lalu, dilaporkan kerajaan akan meneliti cadangan membina pagar penghadang dan memasang lampu jalan di sepanjang laluan berhampiran Sungai Korok di sini, susulan tragedi mengorbankan enam beranak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata, cadangan itu akan dibawa kepada perhatian JKR bagi memastikan aspek keselamatan di kawasan berkenaan ditambah baik.
Tragedi pada 5 Julai lalu meragut nyawa enam sekeluarga apabila kereta dinaiki pasangan suami isteri dan empat anak mereka terbabas ke dalam terusan itu.