Mabuk: kesalahan pertama boleh didenda maksimum RM100k, penjara 15 tahun!

oleh Mohamad Hanif|
Hukuman penjara bagi mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian dinaikkan kepada tempoh tidak kurang 10 tahun dan maksimum 15 tahun, serta denda minimum RM50,000 sehingga RM100,000.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, hukuman penjara diperuntukkan selama tempoh tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang RM100,000 dan maksimum RM150,000.

Perkara itu terkandung dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Bacaan kali pertama Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 itu dibuat Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang turut memaklumkan bacaan kali kedua rang undang-undang itu akan dibuat pada persidangan dewan kali ini.

Menurut rang undang-undang itu, bagi pemandu yang menyebabkan kecederaan pula, mereka berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.

Rang undang-undang berkenaan juga menyebut, pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang menyebabkan kematian akan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dari tarikh sabitan dan tidak kurang tujuh tahun bagi pemandu yang menyebabkan kecederaan.

Pindaan itu juga turut melibatkan had alkohol yang ditetapkan iaitu 22 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter (ml) nafas; 50 miligram (mg) alkohol dalam 100 ml darah atau 67 mg alkohol dalam 100 ml air kencing.

Selain itu, rang undang-undang berkenaan juga mengadakan peruntukan bagi takrif  'kenderaan mikromobiliti'  iaitu mana-mana kenderaan yang dipacu oleh sumber elektrik.

Rang undang-undang yang antaranya bertujuan meminda Seksyen 41, 42, 43, 44 dan 45 akta itu tidak melibatkan perbelanjaan wang tambahan pihak kerajaan.

Sumber: Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Dia didakwa memandu kereta BMW dalam keadaan paras alkohol di dalam badannya melebihi had…
Berita Global
Menurut Rang Undang-undang Rumah “House Bill” 393, pemandu mabuk yang disabitkan dengan pembunuhan…
Berita Global
Difahamkan, kemalangan ngeri itu berlaku di Bellevue, Washington pada 30 September sekitar jam 4.00…