
Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, langkah yang diumumkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu dilihat selari dengan usaha mengurangkan ketidakseimbangan perdagangan dalam sektor automotif tempatan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pelaksanaan terlalu agresif boleh memberi kesan terhadap perkembangan pasaran EV negara.
Menurut beliau, jika pilihan EV di Malaysia menjadi terlalu terhad, ia boleh menjejaskan sasaran kerajaan untuk mencapai neutral karbon menjelang 2050 serta sasaran 20 peratus pegangan EV dalam jumlah keseluruhan jualan industri (TIV) menjelang tahun 2030.
Ketika ini, jualan EV di Malaysia masih berada di bawah empat peratus daripada keseluruhan TIV bagi tahun 2025, jauh di belakang beberapa negara jiran seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia yang sudah melepasi paras 15 peratus.
MAA Mahu Ekosistem EV Tempatan Lebih Kukuh
MAA turut melihat polisi baharu itu sebagai langkah yang berpotensi membantu pembangunan industri EV tempatan dalam jangka panjang.
Menurut Shamsor, perubahan tersebut boleh mewujudkan pasaran EV yang lebih sihat dan mampan, selain menggalakkan lebih banyak pemasangan tempatan (CKD), pelaburan bernilai tinggi, peluang pekerjaan baharu serta memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem EV serantau.
Syarat Baharu Untuk EV CBU Dan CKD
Bermula 1 Julai 2026, semua EV import sepenuhnya yang mahu dijual di Malaysia perlu memenuhi syarat minimum baharu ditetapkan MITI.

Antara syarat tersebut termasuk nilai cost, insurance and freight (CIF) sekurang-kurangnya RM200,000 serta kuasa minimum 180 kW atau 245 PS.
Polisi baharu itu menggantikan syarat yang diumumkan kurang empat bulan lalu, di mana kerajaan sebelum ini menetapkan harga minimum RM250,000 dan kuasa sekurang-kurangnya 200 kW atau 272 PS.
Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan syarat lebih ketat bagi projek pemasangan tempatan EV baharu selepas September 2025.
Antara syarat ditetapkan termasuk:
- Harga jualan model CKD tidak boleh di bawah RM100,000
- Sekurang-kurangnya 80 peratus pengeluaran perlu dieksport
- Kilang mesti mempunyai fasiliti paint shop sendiri
Kehadiran paint shop dianggap sebagai tanda pengeluar benar-benar melakukan operasi pembuatan serius di Malaysia kerana fasiliti tersebut memerlukan pelaburan yang tinggi.
Namun begitu, syarat eksport 80 peratus dilihat sebagai cabaran paling besar untuk dipenuhi oleh kebanyakan pengeluar automotif.
Disebabkan itu, jenama yang masih belum mempunyai rakan pemasangan tempatan dijangka perlu bekerjasama dengan syarikat CKD sedia ada di Malaysia berbanding membina kilang sendiri.
BYD antara jenama yang sering dikaitkan dengan situasi tersebut kerana masih belum mempunyai fasiliti pengeluaran sendiri di Malaysia.