MAA rayu sektor automotif dibenar beroperasi semasa PKPD, Fasa 1 dan 2 PPN

oleh HEZERI SAMSURI|
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) merayu kepada pihak kerajaan untuk membenarkan operasi sektor automotif semasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan juga semasa Fasa 1 dan 2 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Badan yang mewakili syarikat-syarikat pengedaran kenderaan baharu serta kilang-kilang pemasangan dan pembuatan kenderaan berkata pihak kerajaan perlu mengkaji semula arahan kawalan pergerakan yang melibatkan negeri-negeri dengan aktiviti ekonomi tinggi seperti Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perak, Johor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

PKPD telah pun dilangsungkan selama dua minggu di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sementara negeri-negeri lain sudah mula memasuki Fasa 2 PPN.

Datuk Aishah Ahmad, Presiden MAA berkata rantaian bekalan untuk sektor automotif sudah terkesan teruk dan menjejaskan perniagaan untuk seluruh negara.

Siaran media MAA yang diterima Careta juga berkata walaupun syarikat kenderaan akan mengalami kerugian dari segi pendapatan, keuntungan, pasaran eksport dan penutupan perniagaan, pekerja-pekerja akan menghadapi risiko pemotongan gaji, kehilangan sumber pendapatan (terutama mereka dari bahagian jualan) dan pemberhentian untuk kes-kes tertentu.

Akibat dari itu, pihak kerajaan sendiri bakal kehilangan pendapatan dari pungutan cukai, duti import, cukai jualan dan cukai jalan kenderaan.

 

 

Penutupan bengkel-bengkel automotif juga menyusahkan pengguna dan kenderaan yang tidak diselenggara bakal menjadi risiko keselamatan bila digunakan.

Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga menyumbang hampir 50 peratus dari jumlah jualan kenderaan negara (TIV) dan kebanyakan syarikat kenderaan serta pembekal komponen berada di dalam lokasi tersebut.

MAA turut mencadangkan agar lega masa selama dua hingga tiga hari seminggu diberikan untuk mengelakan kesesakan di pelabuhan untuk kegiatan menerima dan menyimpan kargo-kargo berkaitan sektor automotif, seperti apa yang dilakukan sebelum ini.

Dari sumber-sumber Careta, pihak MITI sebenarnya sudah meminta kelonggaran untuk membenarkan sektor automotif beroperasi (di bawah syarat yang ketat) tetapi ia ditolak oleh pihak atasan.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  "Kami memohon lanjutan pengecualian cukai import dan eksais sepenuhnya bagi unit siap dibina (…
Berita Domestik
  Sementara itu, jualan kenderaan komersial meningkat kepada 6,845 unit daripada 2,448 unit.  …
Berita Domestik
  Bagi tujuh bulan pertama tahun ini, jualan turut tinggi kepada 380,595 unit berbanding 256,677…