MAA naikkan TIV 2020 kepada 470,000 unit

oleh Mohamad Hanif|
Dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2020 (1H2020), industri automotif Malaysia mencatatkan penurunan jumlah jualan keseluruhan (TIV) 41.3 peratus atau 158,876 unit berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Impak daripada wabak COVID-19 bukan sahaja memberikan kesan kepada jumlah jualan kenderaan baharu, malah sekatan terhadap aktiviti ekonomi turut mengakibatkan jumlah keseluruhan produksi juga menurun sebanyak 118,591 unit (40.8%) untuk tempoh yang sama. 

Pasaran segmen kenderaan penumpang masih lagi mendominasi dengan penguasaan 91 peratus dan selebihnya oleh kenderaan komersil. 

Daripada kedua-dua segmen tersebut, pasaran terbesar iaitu kereta penumpang dan trak pikap  mencatatkan penurunan terbesar, masing-masing sebanyak 60,911 unit (33.6%) dan 5,650 unit (34.1%). 

Namun, prestasi pasaran automotif dilihat meningkat sebanyak 94.7 peratus pada bulan Jun berbanding Mei 2020 disebabkan pengumuman pengecualian cukai jualan untuk kenderaan CBU dan CKD di bawah pelan PENJANA. 

MAA meramalkan peningkatan jumlah jualan kenderaan pada bulan Julai 2020 memandangkan kebanyakan sektor ekonomi telah pun dimulakan semula. 

MAA juga turut menjangkakan sentimen pengguna kekal lemah disebabkan situasi ekonomi semasa yang tidak menentu, pembuangan kerja, pemotongan gaji, nilai Ringgit yang semakin menurun, serta syarat kredit yang diperketatkan oleh industri kewangan. 

Daripada data yang dibentangkan, Perodua masih kekal di tangga pertama dengan penguasaan pasaran 42.5 peratus, diikuti oleh Proton (21.2%), Toyota (10.4%), Honda (9.8%) dan Nissan (2.5%). 

Dalam pada itu, MAA turut menaikkan ramalan jumlah keseluruhan industri (TIV) kepada 470,000 setelah mengambil kira pakej stimulus yang diumumkan oleh kerajaan seperti PRIHATIN dan PENJANA.