MAA - Jualan kenderaan diharap tidak terjejas dengan penyasaran subsidi diesel

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Impak pelaksanaan subsidi diesel bersasar terhadap jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) kenderaan diharap tidak signifikan memandangkan kenderaan diesel di seluruh negara berada di bawah 12 peratus, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Malah, persatuan itu berkata, kerajaan juga menawarkan subsidi bersasar kepada penerima dan sektor yang layak.

Katanya, kerajaan juga masih meneruskan pemberian subsidi kepada golongan B40, kenderaan komersial yang layak dan juga kepada pengguna kenderaan diesel di Sabah dan Sarawak.

"MAA menyambut baik usaha kerajaan menyasarkan subsidi diesel kepada pengguna yang berhak. Dengan pelaksanaan ini, diharap kerajaan dapat terus memberi insentif atau subsidi tenaga kepada teknologi terkini seperti kenderaan elektrik hibrid, kenderaan elektrik bateri dan kenderaan elektrik sel bahan api.

"Di Malaysia, kebanyakan kenderaan yang menggunakan enjin diesel adalah trak pikap, van dan kenderaan perdagangan.

"Selain dari penggunaan persendirian, pengguna kenderaan ini kebanyakannya dari sektor pembinaan, perladangan, logistik, pelancongan, pengangkutan dan ia amat penting untuk kelangsungan operasi perniagaan syarikat," katanya dalam satu kenyataan.

MAA mengakui penggunaan diesel untuk kenderaan komersial amat diperlukan untuk menjalankan aktiviti ekonomi negara, walau bagaimanapun, pihaknya difahamkan bahawa subsidi yang diluluskan tidak merangkumi kesemua penggunaan sektor yang terbabit mendapat subsidi.

Justeru, ia berkata, mekanisma rebat yang tepat dan cekap adalah amat penting.

"Adalah penting kuota subsidi untuk sektor ini dibuat dengan jelas bagi mengelakkan pengendali pengangkutan

daripada menaikkan kadar pengangkutan yang akan memberi kesan kepada orang awam dan daya saing negara," katanya.

MAA menjangkakan TIV tahun ini akan kekal pada tahap yang dirancang kerana permintaan untuk kenderaan diesel komersial, trak pikap dan van masih tinggi.

Walau bagaimanapun, ia berpendapat pengguna akan berhati hati untuk membuat keputusan membeli pada awalnya tetapi tidak akan menafikan pembelian memandangkan keperluan kenderaan diesel masih diperlukan untuk kegunaan semasa.

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Persatuan itu berkata, jualan yang dicatatkan pada Mei 2024 itu berikutan bulan bekerja lebih lama…
Berita Domestik
Bagaimanapun, menurut persatuan tersebut, jumlah TIV untuk dagangan jualan tahun (YTD) pada April…
Informasi
"Ini disebabkan syarikat terdesak untuk penghantaran memandangkan tahun kewangan mereka berakhir…