MAA hantar surat rayuan elak harga kereta dinaikkan

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengemukakan satu lagi surat meminta kerajaan mempertimbangkan semula rayuan persatuan itu membabitkan nilai pasaran terbuka (OMV) duti eksais baharu.


Presidennya, Datuk Aishah Ahmad, berkata MAA masih menunggu jawapan balas Kementerian Kewangan (MOF) berhubung OMV dengan persatuan difahamkan MOF masih melihat perkara itu.

 

"MAA juga telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan menyatakan mereka akan menyokong bahawa OMV tidak perlu disemak.

 

"Jadi, kita masih menunggu surat kelulusan rasmi dari MOF. Mereka (MOF) masih melihat perkara ini dan saya jangkakan ada tanda-tanda positif," katanya pada sidang media pengumuman prestasi pasaran automotif bagi separuh pertama 2022 secara maya hari ini.

 

Harga kereta pemasangan tempatan (CKD) termasuk jenama nasional berpotensi meningkat lapan hingga 20 peratus sekiranya pengiraan OMV duti eksais baharu dikuatkuasakan tahun depan.

 

Dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan MAA pada Mac lalu, Aishah berkata, harga baharu kenderaan CKD yang lebih tinggi tidak dapat dielakkan, jika kerajaan berhasrat melaksanakan kadar pengiraan baharu yang memasukkan lain-lain kos pembuatan ke dalam duti eksais bermula 2023.

 

Bagaimanapun, katanya, MAA telah mengemukakan cadangan kepada MOF untuk menilai semula struktur baharu yang dilihat akan membebankan pengguna dan menjejaskan daya saing pasaran automotif tempatan.

 

Perkiraan baru duti eksais Malaysia disediakan oleh MOF semasa pentadbiran Pakatan Harapan dan telah diwartakan pada 31 Disember 2019.

 

gambar hiasan

 

Aishah berkata, struktur pengiraan baharu yang akan dilaksanakan JKRM itu ditangguhkan pada 2020 sehingga penghujung tahun ini, namun jika ia tidak dinilai semula, pastinya akan memberi kesan kepada penawaran harga kenderaan CKD.

 

Katanya, OMV adalah nilai akhir pasaran yang ditetapkan bagi kenderaan CKD yang siap dipasang dari kilang, sebelum kerajaan mengenakan duti eksais ke atasnya.

 

"Kertas cadangan telah dihantar kepada MOF dan kita menantikan jawapan dari kerajaan kerana perkara ini sangat penting kepada industri. Kita mengharapkan dasar lama dikembalikan di mana hanya kos item bukan pembuatan sahaja dimasukkan dalam pengiraan OMV, yang akan mengurangkan harga kenderaan," katanya.

 

Terdahulu, penganalisis menjangkakan sebarang perubahan hanya perlu dilakukan secara beransur-ansur untuk membolehkan pemain industri dan pasaran menyesuaikan diri dengan perubahan.

 

Menurut Penganalisis MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Hafriz Hezry, definisi OMV baharu difahamkan merangkumi kos jualan seperti promosi dan pengiklanan, pemasaran, waranti dan komisen melebihi kos pembuatan sebelum ini.

 

Katanya, asas OMV yang lebih tinggi di mana duti eksais dikenakan dijangka menyebabkan kenaikan duti eksais.

 

Penganalisis AmInvestment Bank, Jeremie Yap Jake Hui pula berkata pengiraan OMV baharu bagi model CKD adalah merangkumi yuran royalti, yuran margin pengedar dan caj pemasangan.

 

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih tidak dapat memastikan mengenai kuantum dan pembolehubah lain yang terbabit kerana tiada maklumat rasmi boleh didapati ketika ini.

 

"Terdapat berita terkini tentang kemungkinan penstrukturan semula duti eksais yang boleh memberi impak kepada harga kenderaan.

 

"Namun, masih belum pasti bagaimana duti eksais akan disusun semula. Harga kereta CKD berpotensi meningkat tahun ini disebabkan oleh peraturan cukai eksais baharu kerajaan yang telah diwartakan pada 31 Disember lalu.

 

"Duti eksais semasa berbeza mengikut kenderaan dari 60 peratus hingga 105 peratus, bergantung kepada model kereta dan pengeluar," katanya.

 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta MOF baru-baru ini dilaporkan sedang dalam perbincangan untuk mengkaji semula struktur duti sektor automotif.

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk P. Ravinthran bersama-sama Datuk Lee Heng…
Berita Domestik
  "Ordinan itu menyebut tidak melebihi RM10,000. Ia boleh jadi RM100 atau RM1,000, bergantung…