MAA - Banyak pengedar kenderaan bakal gulung tikar!

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Banyak pengedar kenderaan dijangka terpaksa menutup perniagaan jika terus tidak dibenarkan untuk beroperasi dalam tempoh terdekat.


Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata pihaknya menerima banyak aduan terutama daripada pengedar kecil mengatakan mereka sudah tidak mampu untuk bertahan lagi dari segi aliran tunai ketika ini.

 

Katanya, jika situasi ini terus berlanjutan untuk tempoh sebulan lagi dan pengedar masih tidak dibenarkan beroperasi, banyak pengedar yang akan menutup perniagaan dan memberhentikan pekerja mereka.

 

"Begitu juga dengan pengedar besar, mereka juga turut terjejas dan mungkin hanya boleh bertahan sehingga Oktober ini sahaja jika kerajaan masih menutup operasi sektor automotif.

"Ini turut termasuk mereka yang terbabit dalam jualan motosikal dan komponen serta alat ganti kereta.

 

"Kami telah beberapa kali merayu kepada kerajaan, menyuarakan kepentingan untuk membenarkan operasi pemasangan dan jualan diteruskan dengan prosedur yang lebih ketat, jika bukan 100 peratus kapasiti pun, tetapi 60 peratus pun sudah memadai," katanya pada taklimat media maya membentangkan prestasi sektor automotif negara bagi 1H21.

 

Sementara itu ditanya mengenai masalah kekurangan cip yang sedang dihadapi ketika ini, Aishah berkata, banyak jenama terkesan dengan masalah ini dan ada yang mengalaminya dengan lebih teruk.

 

Katanya, jika dalam tempoh tiga, empat bulan masalah kekurangan cip ini masih berlaku, ia boleh menjejaskan jualan kenderaan dalam negara untuk tahun ini.

 

"Kita berharap situasi ini akan bertambah lebih baik pada suku ketiga ini. Masalah ini sememangnya berlaku di Malaysia dan juga global," katanya.

 

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Informasi
  Jumlah jualan Februari bagi tahun sehingga kini lebih tinggi pada 112,128 unit berbanding 86,595…
Berita Domestik
Allahyarham adalah muka dan jurucakap bagi Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sejak tahun 2000 lagi…
Berita Domestik
Allahyarham telah memegang jawatan Presiden MAA sejak Januari 2000 lagi. Beliau pernah memegang…