M-Sport Ford Puma Rally1, jentera rali era hibrid diperkenal!

oleh Muhammad Md Tajudin|
M-Sport Ford Puma Rally1 2022
M-Sport Ford Puma Rally1 2022
Pasukan pengeluar yang bersaing di dalam Kejuaraan Rali Dunia (WRC) sedang sibuk mempersiapkan jentera masing-masing bagi menghadapi musim perlumbaan 2022.

Untuk musim akan datang, pengeluar perlu menyediakan jentera baharu yang bernadikan enjin hibrid. 

Ianya bukan sekadar pasang dan jalan, nadi hibrid juga datang sekali dengan berat tambahan dan pengeluar perlu pandai mengimbanginya.

Selain enjin, musim 2022 turut menggunakan peraturan aerodinamik baharu. 

Ringkasnya, pemandu dan jurupandu arah perlu menyesuaikan dengan kereta, nadi dan aerodinamik baharu.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
M-Sport Ford Puma Rally1 2022

 

Menghangatkan lagi persaingan adalah pengenalan M-Sport Ford Puma Rally1 dan bermulanya sejarah Ford di dalam sukan permotoran elektrifikasi antarabangsa.

Model rali itu akan memulakan saingan di pusingan FIA WRC di Monte Carlo pada Januari 2022.

Apa yang menarik tentang jentera ini selain nadi hibrid? Ford Puma adalah SUV dan bukan hatchback seperti jentera rali lain termasuk model Ford sebelum ini.

M‑Sport Ford Puma Rally1 menggantikan Ford Fiesta WRC yang mencatatkan tiga kali kejuaraan WRC sejak diperkenalkan pada tahun 2017.

 

Adrien Fourmaux dan M-Sport Ford Puma Rally1 2022

 

Sempena pengenalan model itu, Ford membuat satu rakaman filem aksi di kilang Ford Craiova, Romania yang meraikan pengeluaran kesejuta dan juga lokasi pemasangan Puma.

Membintangi filem itu ialah pemandu M-Sport Ford World Rally Team (WRT), Adrien Fourmaux dan para pekerja Ford termasuk pengurus kilang dan presiden Ford Romania, Jo Payne.

Apakah ciri-ciri pada M-Sport Ford Puma Rally1 2022? Berikut disenaraikan:

  • Digerakkan enjin 1.6 liter EcoBoost petrol dengan motor elektrik 100kW dan bateri 3.9kWh
  • Tenaga dari pembrekan dan melahu (coasting) disimpan di dalam bateri hibrid
  • Mempunyai kuasa lonjakan sehingga tiga saat dari motor elektrik
  • Kuasa bateri boleh digunakan semasa melalui bandar, hentian servis dan laluan terpilih di antara peringkat perlumbaan
  • Bateri boleh dicas pada perhentian servis dengan tempoh pengecasan sekitar 25 minit
  • Sistem hibrid mempunyai berat 95 kg dengan sejukan air dan cecair.
  • Ianya disimpan di dalam bekas berketahanan balistik supaya tahan impak debu dan tekanan g apabila berlaku kemalangan.

 

M-Sport Ford Puma Rally1 2022

 

Sementara itu, Ford Puma versi jalanan dijana enjin 1.0 liter EcoBoost Hybrid dengan bateri 48 voltan.

Selain Puma Rally1, Ford juga memperkenalkan kenderaan kesejuta yang dikeluarkan di Craiova iaitu Puma ST-Line dalam warna Desert Island Blue bernadikan enjin 1.0 liter EcoBoost Hybrid berkuasa 155 PS.

Dengan pengenalan jentera hibrid di dalam WRC kita boleh saksikan sensasi lonjakan kuasa dari jentera yang sudah sedia laju.

Turut menarik apabila kereta rali melalui celahan jalan bandar dengan bunyi yang senyap apabila mod elektrik diaktifkan.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

M-Sport Ford Puma Rally1 2022