Kini, anak syarikat Geely itu mendedahkan dengan lebih terperinci rekaan SUV tersebut yang masih lagi membawakan bahasa rekaan tipikal Lynk & Co, namun dengan beberapa sentuhan yang tersendiri.
Muka hadapan kembar XC90 ini masih lagi mengekalkan ciri yang terdapat pada model-model Lynk & Co, seperti unit lampu terpisah, namun rekaan gril kini lebih besar dihiasi dengan kemasan krom.
Unit lampu utama pula menempatkan sehingga 84 LED matrix, sementara liang udara sisi pula tampil lebih agresif dengan bukaan yang lebih besar.
Di bahagian sisi, profil gagah XC90 masih lagi boleh dikesan, namun Lynk & Co mendatangkan beberapa kemasan seperti hiasan ala Range Rover pada pintu hadapan, serta tiang D yang menampakkan seakan rekaan bumbung terapung.
Sementara bahagian belakang pula terdapat unit lampu LED dengan rekaan garisan menegak yang diinspirasikan daripada sayap burung camar, serta diffuser sporti yang menempatkan empat tip ekzos.
Ruang kabin Lynk & Co 09 ini tampil dengan rekaan yang elegan, menempatkan sehingga enam skrin (termasuk paparan head-up), sementara konsol tengah yang menempatkan tuil gear serta butang fungsi yang lebih ringkas itu pula direka melandai bagi menimbulkan ilusi ruang yang lebih luas.
Lynk & Co turut mengesahkan SUV besar ini bakal dilengkapi dengan penuras udara terbina, serta sistem audio keliling daripada Bose dengan 14 pembesar suara.
Baris kedua pula menempatkan dua tempat duduk persendirian, serta rekaan tingkap dengan penghadang cahaya matahari terbina untuk keselesaan penumpang ketika dalam perjalanan.
Lynk & Co 09 dijangka membawakan penawaran trenkuasa yang serupa dengan Volvo XC90 menampilkan enjin 2.0 liter turbo yang boleh didapati dalam konfigurasi mild-hybrid, hibrid penuh dan plug-in hybrid, dengan julat kuasa bermula dari 252 PS hingga 431 PS.
Perincian penuh bakal diketahui menjelang tarikh 9 Julai ini.