Lynk & Co 02 diperkenal, RWD, jarak pandu lebih 430 km, RM166 ribu

oleh Muhammad Md Tajudin|
Lynk & Co 02
Lynk & Co 02
Skala ekonomi dimanfaatkan sebaiknya apabila Lynk & Co 02 diperkenal di Eropah yang juga kenderaan elektrik bateri (BEV) pertama syarikat di benua itu.

Di China, 02 dikenali sebagai Z20. 02 direka di studio global Lynk & Co di Gothernburg, Sweden dan dibangunkan daripada pelantar Geely SEA.

Pelantar itu turut digunakan untuk Zeekr X, Volvo EX30 dan smart #1.

Apa yang menarik adalah, 02 adalah hasil kerjasama di antara pelanggan Lynk & Co 01, pereka dan bahagian kejuruteraan syarikat.
PERODUA MREC Banner Campaign May 2025
Lynk & Co 02

 

Pelanggan mempengaruhi karakter 02 secara ketara dan menyumbang lebih 6,000 pesanan mengenai ciri-ciri yang paling dimahukan melalui aplikasi Co:lab dari dalam 01.

Dari segi reka bentuk, 02 tampil menarik dan sebati dengan persekitaran Eropah. Permukaan badan 02 dimainkan dengan cantik, tidak terlalu menonjol dan tidak bersahaja.

02 memiliki ukuran panjang 4,460 milimeter (mm), lebar 1,845 mm, tinggi 1,573 mm dan jarak roda 2,755 mm. Muatan but 419 liter dan 15 liter di depan. Berat kereta 1,820 kilogram (kg).

Dari segi pemanduan dan pengendalian, 02 menggunakan ampaian McPherson di depan dan pelbagai pautan di belakang.

 

Lynk & Co 02

 

02 ditawarkan dalam dua varian iaitu Core dan More dan kedua-duanya dibekalkan bateri NCM 66 kilowatt-jam (kWj). Motor diletakkan di gandar belakang.

02 Core boleh dipandu sehingga 435 kilometer (km) dan bertambah 10 km untuk More (WLTP).

Dari segi kuasa, 02 memiliki 200 kW (272 hp) dan 343Nm. Pecutan dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) memerlukan 5.5 saat dan kelajuan tertinggi mencecah 180 km/j.

Pemandu boleh memilih tiga mod mengikut keadaan iaitu Eco, Comfort dan Sport atau Individual untuk membuat tetapan sendiri.

 

Lynk & Co 02

 

Untuk pengecasan, Core dibekalkan pengecas terbina dalam (OBC) 11 kW dan 22kW untuk More.

Tempoh pengecasan biasa (AC) di rumah dari 0 sehingga 100 peratus memerlukan 7.5 jam untuk Core dan 4.5 jam bagi More.

Pengecasan pantas (DC 150 kW) dari 10 sehingga 80 peratus pula kira-kira 30 minit. Turut dilengkapi fungsi Vehicle-to-load (V2L) untuk membekalkan tenaga elektrik dari kereta.

Bahagian dalam seperti biasa tampil ringkas kecuali skrin besar 15.4 inci untuk navigasi, media dan tetapan kenderaan. Skrin untuk pemandu berukuran 10.2 inci.

 

Lynk & Co 02

 

Pemandu dan penumpang dihiburkan dengan sistem bunyi Harman Kardon dengan 14 pembesar suara.

Pelanggan ditawarkan empat warna iaitu Crystal White, Grey Grid, Cosmic Blue dan Techno Magenta.

Jualan di dalam talian untuk pelanggan di Eropah sudah pun dibuka dan harga 02 bermula daripada 35,495 euro (RM166,053).

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Lynk & Co 02