Luminox ICE-SAR Arctic 1200 Series - jam tangan rasmi pasukan penyelamat Iceland

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sebagai sebuah rakan rasmi kepada pasukan penyelamat Icelandic Association for Search and Rescue (ICE-SAR), Luminox mahukan sebuah jam tangan yang mampu berfungsi dengan cemerlang di bawah keadaan ekstrem. 

Keadaan ini termasuklah seperti letusan gunung berapi, luncuran salji, kapal karam, ribut petir dan pelbagai lagi keadaan cuaca yang buruk di kawasan tersebut. 

Pasukan ICE-SAR mahukan sebuah jam tangan yang boleh dipercayai, oleh sebab itu Luminox sebagai jam tangan rasmi buat pasukan tersebut telah memperkenalkan koleksi baharu Arctic 1200 Series. 
 


Meneruskan momentum yang dicapai pada tahun lalu, siri Arctic 1200 ini menampilkan lebih banyak butiran yang menarik serta warna baharu. 

Jam tangan Arctic 1200 Series ini didatangkan dalam lima varian iaitu:

  • casis biru dengan tali jam tekstil
  • casis hitam dengan tali jam tekstil
  • casis hitam dengan gelang keluli
  • casis putih dengan tali jam tesktil
  • casis putih dengan gelang keluli

Menariknya, Luminox menambah keupayaan pantulan cahaya seakan baju keselamatan pasukan ICE-SAR pada tali jam tekstil ini untuk memberikan lebih keselamatan terutama ketika waktu malam. 
 


Jam tangan Arctic 1200 Series direka supaya bertahan di bawah tekanan air sedalam 200 meter (20 ATM), manakala rekaan bezel boleh putar dua arah pula mampu berfungsi sebagai kompas matahari. 

Rekaan dial pula menampilkan lakaran peta dunia dengan koordinat ibu pejabat ICE-SAR ditunjukkan ditengah-tengah muka jam. 

Keseluruhan binaan pergerakan jam tangan ini dilindungi oleh kaca sapphire yang diakhiri dengan salutan anti-reflektif. 
 


Tidak dilupakan, ciri pencahayaan sendiri Luminox Light Technology yang bertahan sehingga 25 tahun itu memudahkan pembacaan masa terutama ketika menghadapi musim siang yang pendek atau kegelapan total ketika musim sejuk. 

Setiap pembelian jam tangan Arctic 1200 Series ini akan disekalikan dengan sebuah buku khas yang menandakan kerjasama unik antara pasukan ICE-SAR dan juga Luminox. 
 


Siri Arctic 1200 ini sudah boleh didapati di pasaran Malaysia dengan harga jualan bermula dari RM3,420 untuk model tali jam tekstil manakala varian gelang keluli pula dijual pada harga RM4,160.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Crystal Time (pengedar rasmi jenama Luminox) di alamat www.crystaltime.com.sg atau laman Facebook di www.facebook.com/LuminoxMalaysiaBrunei atau menghubungi talian +603 2938 3938.